Malaysia Dateline

Gobind Singh Deo DAP

DAP terima surat rasmi daripada ROS

 

DAP menerima surat rasmi dari Pendaftar Pertubuhan (ROS), semalam, yang mengarahkan pari itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Biro Guaman Kebangsaan DAO Gobind Singh Deo menerusi laman Twitter dan Facebook rasminya.

“CEC DAP akan berjumpa Rabu ini bagi membincangkan kandungannya dan kenyataan akan dikeluarkan selepas itu,” katanya dalam status yang dimuat naik pada jam 3 petang, semalam.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata pemilihan semula CEC baharu adalah bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Arahan itu dibuat ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.

Kata Mohammad Razin, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

“Ingin ditegaskan di sini bahawa ROS menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini ROS tidak berniat sama sekali untuk membatalkan (pendaftaran) DAP,” katanya dalam satu kenyataan 7 Julai lalu.