Komuniti kaum Cina kini menyedari mereka ditipu oleh DAP, apabila pemimpin parti itu menyeru supaya mengundi calon Amanah, akan dapat mengubah nasib kaum Cina, kata Presiden MCA Liow Tiong Lai.
“Apa sudah berlaku? Pas sudah berpecah pemimpin utamanya pula membentuk parti baru Amanah.
“Sebab itu untuk mengambil semula hati kaum Cina di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, DAP sanggup menaja pemimpin dan bantu gerak kerja kempen calon Amanah untuk PRK kali ini.
“Berbeza dengan pendirian PKR yang berusaha memujuk Pas sertai Pakatan Harapan dalam PRK ini.
“PKR juga terpaksa membiarkan Pas meletakkan calonnya di dua PRK apabila Pas tetap berdegil mahu terus mengekalkan kerusi mereka.
” Manakala antara Pas dan Amanah buat Azmin (Naib Presiden PKR Datuk Seri Mohd Azmin Ali) pula terkeliru dan rakyat juga akan keliru.
“Bagaimana cara dia akan berkempen terhadap dua parti itu? Dia nak berkempen untuk sokong Amanah atau Pas?
“Akhirnya Amanah dan Pas berlawan di padang yang sama,” ujarnya dalam wawancara bersama Malaysia Dateline di sebuah tokong di Sekinchan A, Sungai Besar pada Ahad lalu.
Beliau diminta mengulas mengenai Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew secara terbuka menyeru Amanah meletakkan calon di PRK Sungai Besar untuk menguji kekuatan Pas tanpa bantuan sekutunya PKR dan DAP.
Dalam PRU-13 lalu, di bawah Parlimen Sungai Besar ini, Adun BN Budiman Mohd Zohdi menang di Dun Sungai Panjang dan Dun Sekinchan dimenangi Adun DAP, Ng Suee Lim.
Liow juga berkata, MCA dan BN adalah komponen yang begitu konsisten dalam menjaga kepentingan semua kaum dan memahami hati nurani rakyat berbanding DAP dalam pakatan pembangkang.
“DAP sudah tersepit dan cuba kali kedua mahu menipu sokongan orang Cina untuk mengundi Amanah pula dalam dua PRK ini.
“Kita juga tahu DAP sekarang bercelaru. Apabila putus hubungan dengan Pas kerana ketegasan parti itu mahu tegakkan hudud.
“Setelah itu cuba pula pengaruhi bekas pemimpinnya (Pas) menubuhkan Amanah sebaliknya Amanah pula kita dapati sama dengan Pas meletakkan Islam asas dasarnya,” terangnya.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan ini juga meyakini calon BN, Budiman adalah wakil rakyat terbaik bagi pengundi Cina di Dun Sungai Panjang dan Sekinchan.
Beliau mengakui kenal lama dengan Budiman ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menjadi halangan menurunkan calon Umno itu untuk menarik komuniti dikalangan kaum Tionghua.
“Saya kenal lama dengan Yb Budiman ketika berada di universiti.
“Saya nak tegaskan calon BN adalah calon terbaik untuk komuniti di Sekinchan dan Sungai Besar terutama kepada kaum Tionghua.
“Budaya dan bahasa tidak membataskan kita untuk memilih calon Umno sebagai wakil rakyat bagi kaum Cina di parlimen Sungai Besar walaupun di Dun Sekinchan ia dipimpin oleh wakil rakyat DAP.
“Kita yakin keupayaan beliau dapat menarik lebih banyak undi blok Cina kerana pemimpin MCA dalam komponen BN sentiasa konsisten untuk menjaga hubungan pelbagai kaum ini,” ujarnya.
Pendirian MCA terhadap Akta 355 hingga kini?
Jika DAP dikatakan menolak Pas kerana hudud bagaimana pendirian beliau apabila baru-baru ini, mengeluarkan kenyataan MCA akan keluar dari BN jika hudud dilaksanakan?
Mengulas mengenai pendirian MCA terhadap Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei lalu, Liow mengakui dihujani pelbagai pertanyaan daripada ahli dan masyarakat Cina berkaitan pendirian MCA mengenai RUU itu.
” Pemimpin MCA sedia pada bila-bila masa untuk berjumpa Presiden Umno berbincang mengenainya. Kita masih berpegang kepada semangat perlembagaan mengenai hak beragama.
“Walaupun kita menyuarakan tentangan terhadap apa yang dibentangkan Hadi tetapi menerusi semangat barisan nasional kita akan bersama selesaikan isu ini.
“Kita juga akan menjelaskan berkaitan isu ini di Sungai Besar dan Kuala Kangsar khusus kepada pengundi kaum cina.
“Lagipun Pas yang mahu bawa isu RUU ini di Parlimen bukannya Umno.
“Banyak perkara yang patut difikirkan bersama dengan parti komponen BN dalam perkara ini,” jelasnya.