Malaysia Dateline

DAP tidak nyah Cina, tuduhan Ronnie tidak ada asas

DAP menolak dakwaan bahawa parti itu cuba menghapuskan identiti mana-mana kaum termasuk Cina, Melayu, India, Kadazan mahupun Iban.

Sebaliknya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, DAP adalah parti yang menerima bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai identiti berbeza namun mereka semua pertamanya merupakan rakyat Malaysia.

Jelasnya, beliau perlu menanggung banyak beban dan ini merupakan beban terbaru yang harus ditanggungnya dalam mengejar impian Malaysia untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Kini, terdapat kempen media sosial untuk menuduh saya menjual hak dan masa depan orang Cina di Malaysia, yang mempersoalkan mengapa DAP tidak hanya meletakkan calon Cina di semua kerusi yang dipertandingkan DAP.

“Tuduhan terbaru adalah DAP mahu ‘menyah-Cinakan’ dalam parti ini. Dikatakan juga bahawa DAP tidak boleh ‘mencairkan identiti Cinanya’ untuk merendahkan dirinya hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Tidak ada sebarang asas atau kebenaran dalam tuduhan liar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa pusat DAP, Ronnie Liu berpendapat parti itu tidak perlu ‘mencairkan kecinaan’ semata-mata kerana kritikan daripada musuh politik.

Ronnie berkata, DAP tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan parti itu sebagai parti bukan Cina hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Sementara itu, Lim Kit Siang bertanya sama ada kenyataan Ronnie itu dibangkitkan hanya kerana pendirian Kit Siang pada tahun 2019 tentang isu Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil.

Pada waktu itu, Kit Siang bercerita bagaimana beliau belajar sendiri menulis Jawi ketika menjalani tahanan pertama di Muar pada tahun 1969 dan menegaskan bahawa tulisan Jawi tidak memberi kesan kepada identitinya sebagai seorang Cina.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa kenyataannya itu telah diputarbelit oleh segelintir pihak yang mendakwa dirinya cuba mengatakan bahawa seseorang perlu belajar Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Sama seperti kenyataannya mengenai Jawi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga pernah dituduh bahawa beliau bukan orang Cina ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2018.

Sedangkan katanya, apa yang dikatakan Guan Eng adalah beliau akan menjadi seorang Menteri Kewangan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.

Kit Siang turut mengulangi ucapannya ketika di Bangalore pada 5 Ogos 2019 bahawa semua pihak harus berhati-hati agar tidak terjebak dalam perangkap mereka yang ingin melaga-lagakan hubungan perkauman dan kegamaan untuk menimbulkan kecurigaan.