Malaysia Dateline

DAP tidak teragak-agak tinggal PH jika objektif Malaysia Baharu dipinggirkan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan pada hari ini sekiranya objektif Malaysia baharu yang dilaungkan mereka dipinggirkan.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, komitmen itu, yang membezakan parti tersebut dengan MCA yang disifatkan beliau sebagai ‘lembik’ semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina Malaysia baharu dan menyelamatkannya daripada menjadi demokrasi memalukan, kakistokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global.

“Sama ada dalam kerajaan atau luar, tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan pakatan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baharu di abaikan,” katanya menerusi catatan terbaharu dalam laman blognya,malam tadi.

Kit Siang berkata, berbanding MCA, DAP mahu pemimpin dan ahlinya berpolitik untuk berkhidmat kepada negara dan bukannya untuk diri sendiri sama ada untuk kekayaan, mendapat hak milik atau kedudukan.

“DAP adalah parti berbilang kaum untuk kesejahteraan dan kebajikan semua kaum di Malaysia dan bukan mono-etnik (satu etnik) seperti dalam kes MCA.

“Kami mewakili semua rakyat Malaysia, sama ada Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli manakala MCA mewakili atau mendakwa untuk mewakili hanya orang Cina di Malaysia,” katanya.

Kit Siang mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas pandangan ahli perniagaan Clement Hii yang mendakwa beliau resah apabila masyarakat melihat DAP seperti sebuah lagi MCA jika tidak berusaha melaksanakan agenda perubahan.