DAP tubuh biro parlimen Felda perjuang hak peneroka

DAP tubuh biro parlimen Felda perjuang hak peneroka

Bimbang dengan perkembangan semasa membabitkan Felda, DAP memutuskan penubuhan biro parlimen bagi menjaga kepentingan peneroka Felda.

Menurut Ketua Parlimen DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, biro itu diwujudkan bagi memberi sokongan kepada Ahli-ahli Parlimen DAP memperjuangkan kepentingan peneroka dari menjadi mangsa kepada dasar-dasar kurang berkesan serta tidak adil kerajaan.

Biro itu dipengerusikan Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai Timbalan Pengerusi.

Ahli parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Adun Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong dilantik naib pengerusi manakala Setiausaha disandang pemimpin muda DAP  Dyana Sofya Mohd Daud.

Sebelas ahli jawatankuasa yang dilantik menganggotai biro ini ialah A. Sivanesan, Terence Naidu, Young Syefura Othman, Cheong Siow Foon, Bakar Ismail, Nurul Shifa, Mahadzir Ibrahim, A.Ramakrishnan, S.Veerapan, Leong Yu Man dan Ahmad Rizal Selamat

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang melahirkan kekesalan dengan kegagalan Felda menyelesaikan kontroversi yang melanda agensi itu.

Isu terhangat adalah pembelian 37 peratus pegangan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk yang turut dikritik Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

“Namun kini, datang pula kontroversi baru apabila Felda menjual sahamnya di Maybank untuk memperoleh lebih RM280 juta,” ujarnya.

Beliau enyifatkan pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi baru Felda tidak berjaya melegakan kebimbangan para peneroka apabila Felda menjual 35 juta unit saham kepada Maybank bagi meraih pulangan tunai sebanyak RM281.75 juta.

TAGS