Malaysia Dateline

DAP umum 18 calon awal bertanding PRN12 Sarawak

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak telah mengumumkan seramai 18 calon awal parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember depan.

Menurut Pengerusinya Chong Chieng Jen, DAP akan bertanding di 26 kerusi pada PRN12 kali ini yang mana lapan lagi calon akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, 18 calon yang diumumkan itu melibatkan sebelas muka baharu yang bakal ditampilkan DAP bagi menghadapi PRN12 Sarawak kali ini.

“18 kerusi itu ialah Tasik Biru yang mana kita meletakkan calonnya Granda Aing, Mambong (Chang Hong Siong), Kedup (Learry Jabul), Bukit Semuja (Brolin Nicholsion Benedict Achung), Simanggang (Leon Jimat Donald), Repok (Philip Wong Pak Min), Meradong (Yong Siew Wei), Bukit Assek (Irene Chang) dan Pelawan (David Wong).

“Bagi DUN Pelagus, DAP diwakili Solomon Kumbong, Bukit Goram (Joseph Jingut), Bale (Kenneth Lagong), Tanjong Batu (Tony Chiew), Kemena (John Bryan), Samalaju (Tonny Ung), Piasau (Peter Hee), Pujut (Alan Ling) dan Senadin (Marcus Hugo),” kata Chong di Kuching hari ini.

Malah beliau yang juga penyandang kerusi DUN Kota Sentosa menjelaskan, lapan lagi kerusi akan diumumkan dalam masa terdekat nanti.

Jelasnya, lapan kerusi berkenaan ialah enam di Kuching iaitu DUN Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah dan Stakan manakala dua lagi iaitu di Sibu, iaitu DUN Dudong dan Bawang Assan

Selain DAP, Pakatan Harapan (PH) adalah terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding di 47 kerusi dan Parti AMANAH Negara (sembilan kerusi).