Malaysia Dateline

DAP wajar diharamkan, kata Tuan Ibrahim

Beberapa isu kontroversi yang telah ditimbulkan oleh pihak DAP akhir-akhir ini, membawa kepada kewajaran agar parti berkenaan diharamkan.

Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan agenda DAP semakin merbahaya kepada politik negara berikutan tiga bukti kontroversi tercetus baru-baru ini.

Katanya, tiga bukti itu adalah, pertama beliau telah mengemukakan bukti ucapan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (DAP) dalam forum Naratif Malaysia Baru yang diadakan pada 14 September lalu di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor.

“Saya telah mendesak pihak polis supaya menyiasat ucapannya, ‘The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakebale confidence’.

“Kedua, pemimpin DAP yang bertaraf Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah ditangkap kerana didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

“Ketua Polis Negara juga telah mengakui bahawa penahanan terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan LTTE adalah berdasarkan bukti kukuh dan hasil risikan PDRM.

“Hal ini menunjukkan bahawa penangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan LTTE bukan satu tindakan politik, tetapi demi kepentingan negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama hari ini, Tuan Ibrahim turut mendedahkan bukti ketiga yang membawa kepada kewajaran pengharaman parti tersebut.

“Bukti ketiga adalah, pada Rabu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan buku komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang ditulis oleh aktivis DAP, Hew Kuan Yau dan pengantarnya ditulis oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng.

“Menurut KDN, buku tersebut telah mempromosi ideologi komunisme, sosialisme, menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan juga mempertikaikan perjuangan tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian menyifatkan tindakan daripada parti itu bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan, maka DAP wajar diharamkan.