Dapat anak kembar lepas 6 tahun menanti, ‘Abang Axia’ buktikan lelaki setia itu wujud!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman yang dikongsikan oleh seorang selebriti media sosial dikenali sebagai Abang Tesla telah mengundang amarah kaum hawa baru-baru ini.

Mana tidaknya, rakaman tersebut telah merakamkan kesedihan isteri pertama Abang Tesla yang terpaksa memberi izin kepada suaminya untuk beristeri dua.

Setelah menerima kecaman hebat daripada orang ramai, Abang Tesla mendedahkan bahawa alasannya berkahwin baru adalah untuk mendapatkan zuriat.

Ekoran daripada itu, lelaki bergelar Abang Axia tampil berkongsi pengalamannya sendiri yang diuji dengan dugaan ketiadaan anak dalam tempoh enam tahun berkahwin.

Menurut lelaki yang bernama Mohd Ruzaimi Adam, dia dan isteri mula berkenalan di bangku sekolah sejak 2006 dan memutuskan untuk bertunang pada tahun 2015.

Ruzaimi kemudian membeli kereta Perodua Axia untuk kegunaan mereka berdua sebelum mendirikan rumah tangga pada 2016 selepas setahun bertunang.

Pasangan yang menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) kerana tuntutan kerja itu tetap setia meskipun masih tidak dikurniakan rezeki untuk memiliki zuriat.

Berdepan dengan pelbagai soalan sensitif mengenai anak daripada orang sekeliling, Ruzaimi menghiburkan diri dengan menyambung pengajian ijazah sarjana.

Tidak memanfaatkan situasi untuk berkahwin lain, Ruzaimi dan isteri kemudian berjumpa pakar dan wanita itu disahkan mengalami jangkitan pada ovari (cyst).

Menyukarkan kemungkinan untuk bersalin, isteri Ruzaimi kemudian harus menjalani rawatan dan pembedahan akibat penyakit tersebut di sekitar September 2021.

Tiga bulan selepas menjalani rawatan, pasangan itu akhirnya menerima rezeki tidak terduga apabila isteri Ruzaimi disahkan mengandung anak kembar.

Berkat kesabaran dan kesetiaan, Ruzaimi yang kini bergelar inspektor itu bersyukur dapat menjadi bapa kepada dua anak setelah enam tahun berkahwin.

Tular di media sosial, pengalaman itu dikongsi Ruzaimi menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok peribadi miliknya, @adamharithdotco.

Digelar Abang Axia selepas perkongsiannya menyita perhatian ramai, Ruzaimi turut berharap agar anaknya membesar menjadi insan yang menghargai wanita.

“Nak, nanti sudah besar hargai wanita yang sanggup berkorban segalanya untukmu. Dari dirimu tiada apa-apa sampai kamu punya segalanya.” Tulis Abang Axia di TikTok.

Baca juga: Lelaki menyesal beli baju bundle, baru nampak logo arak lepas jadi imam solat Maghrib