Malaysia Dateline

Dapat kebenaran polis sebelum laksana kerja sukarela, arah Mohamad Sabu kepada ARiF

Pertubuhan sukarelawan di bawah Parti AMANAH Negara, Amal Relief (ARiF) dinasihatkan agar mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terutamanya polis dan Kementerian Kesihatan jika ingin berkhidmat kepada masyarakat.

Perkara itu disuarakan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang menyifatkan disiplin tinggi sememangnya diperlukan daripada seluruh rakyat Malaysia di saat genting sebegini.

“Disiplin tinggi itu adalah seperti mengikuti arahan pihak berkuasa agar penularan wabak Covid-19 ini dapat disekat dengan kadar segera.

“Di pihak AMANAH, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat, nasihat serta pandangan kesihatan berkaitan isu ini.

“Saya juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia bertenang dan memastikan sebarang tindakan yang dilakukan, memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut menyeru masyarakat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sentiasa berdoa agar negara dapat menangani wabak ini dengan segera dan pulih seperti sedia kala.