Dapat kunci periksa, kemudian tanda kecacatan rumah anda sebelum pindah masuk

Oleh NASUHA RAHMAN

Perlu dipastikan sebaik sahaja anda mendapat kunci rumah baru dibeli perkara pertama yang wajib dilakukan adalah periksa dan tanda segala kecacatan atau kerosakan rumah sebelum pindah masuk.

Kecacatan yang wajib ditanda seperti cat tanggal, dinding retak, plaster tanggal, tiles lompong, kebocoran dan segala kerosakkan di setiap sudut dalam dan diluar kawasan rumah anda.

Ini kerana, pihak pemaju akan menghadkan tempoh selama 24 bulan untuk kita membuat pemeriksaan pada rumah kita, serta boleh mengadu apa sahaja kerosakan atau kekurangan yang ada baik di dalam atau di luar rumah.

Semua ini adalah hak-hak kita sebagai pembeli maka periksalah sebaik-baiknya keadaan di dalam rumah. Tetapi sekiranya anda buat major renovation, maka pemaju takkan bertanggungjawab atas sebarang kecacatan rumah.

Sebelum mahu buat pemeriksaan sila bawa peralatan ini siap-siap supaya senang kerja kita;

Masking tape – Kalau ada retak atau crack terus lekatkan dan tanda.

Marker Pen – Sebaiknya warna merah. Senang nampak tulisan, nombor dan jenis defect atas masking tape.

Kertas A4 – Tuliskan senarai kecacatan atau defect tu dengan nombor dan lokasi sekali supaya senang nak cari.

Kamera / Handphone berkamera – Ambil gambar kecacatan rumah

Selain itu, periksalah dan buatlah perkara ini sebelum masuk rumah baru anda;

1.Azan

Pastikan lepas dapat kunci rumah, lawatilah rumah anda.

Masuk rumah dengan lafaz basmallah, bagi salam dan pergi tingkat atas sekali, berdiri mengadap kiblat dan azan kuat-kuat bagi satu rumah dengar.

2.Pintu

Buka dan tutup pintu berkali kali. Periksa juga tombol pintu & kuncinya sekali.

Dapat kunci periksa, kemudian tanda kecacatan rumah anda sebelum pindah masuk

3.Tiles Lompong

Sila ketuk semua tiles rumah anda satu persatu.

Tandakan tiles yang kosong dan minta wakil pemaju pecah dan tampalkan yang baru dengan elok.

Kecacatan akan dibaiki pemaju dalam tempoh yang ditetapkan

Cara nak kenal pasti tiles yang lompong adalah ketuk tiles dengan duit syiling atau pemutar skru. Kita boleh kenal pasti tiles yang lompong (kosong) dan padat.

Ketuk pada setiap kepingan tile tu dan ketuk keliling perimeter tiles, sebab di tengah-tengah selalunya ada simen, yang tiada simen selalu di bahagian tepi tiles. Biasanya tiles dipasang di dapur dan juga bilik air.

4.Elektrik

Untuk periksa elektrik, hidupkan suis utama dan periksa satu persatu suis lampu, kipas, soket dan sebagainya.
Pastikan periksa setiap punca elektrik dan soket.

5.Meter Air

Apabila meter air sudah dipasang, sila pastikan pili air di rumah anda mengalirkan air dengan dengan sempurna.

Buka semua pili air anda serentak. Periksa saluran air, toilet bowl, sinki dan sebagainya. Pastikan tiada yang tersumbat.

Periksa juga kepala paip dan kepala shower. Periksa sambungannya betul, tiada yang tercabut atau pun longgar.

Buka air kat meter, biar air masuk tangki sampai penuh. Kemudian, periksa keadaan tangki simpanan untuk pastikan tangki tidak bocor.

Apabila air dah penuh dalam tangki, pastikan bacaan pada meter air tu mesti berhenti. Jika tidak, ada paip yang bocor sebelum air sampai ke tangki.

6.Tingkap dan Sliding Door

Buka tutup tingkap anda semaksimum mungkin. Pastikan tingkap boleh kunci sempurna.

Pastikan juga sliding door dapat dikunci dengan rapat.

7.Tangga

Sila goyang-goyangkan pemegang tangga rumah anda, pastikan ia kukuh. Kadang-kadang ada yang longgar dan bergoyang-goyang.

8.Bilik Air Tingkat Atas Bocor

Pastikan bilik air tingkat atas tidak bocor. Caranya, ambil binding tape dan sealkan sepenuhnya lubang aliran air keluar.

Penuhkan bilik air dengan air. Biarkan seminggu. Lepas seminggu, periksa ada kesan air bocor atau tidak di bahagian siling tingkat bawah rumah anda.

Sekiranya ada, tunjuk dengan wakil pemaju dan sila minta kontraktor pemaju pecah semula lantai toilet tu dan pastikan letak sealer toilet dengan sempurna.

Selalunya lepas letak sealer ni kena tinggalkan sehari bagi kering. Periksa sealer tu penuh atau tidak.

9.Dinding Retak

Periksa dinding rumah anda, kalau ada retak sila maklumkan segera.

10.Kunci Semua

Seterusnya adalah kunci rumah anda, pagar, tingkap, tingkap toilet, sliding door pintu dan segalanya yang memungkinkan akses mudah keluar masuk rumah oleh pencuri kabel letrik.

Selepas dapat kunci rumah, pemaju takkan bertanggungjawab sekiranya ada berlaku kes kecurian kabel.

Bila dah siap betulkan defect ni, barulah boleh buat renovation rumah dengan senang hati.

Baca juga: Banner ‘Peja Jgn Sap Gam!!!’ di stadium malam tadi tular

Baca juga: Patung pocong jadi pilihan walaupun harga cecah RM140