Politik Malaysia memasuki fasa baru dengan penglibatan Pakatan Harapan (PH) di dalam beberapa aspek menyentuh dasar kerajaan secara lebih meluas apabila diwujudkan persefahaman antara kerajaan pimpinan Datuk Ismail Sabri dengan blok pembangkang terbesar PH menerusi apa yang dipanggil Perjanjian Pembekalan dan Keyakinan (CSA) yang antara lainnya memberi ruang kepada PH membawa usul dan cadangan bagi pelaksanaan di pihak kerajaan.
Bagaimanapun Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH menjelaskan kemudian bahawa perjanjian ini bukan sebagai CSA sebaliknya sebuah memorandum persefahaman semata-mata. Apa pun dokumen yang ditandatangani kedua-dua pihak, ia merintis kerjasama antara kerajaan dan PH sebagai blok pembangkang terbesar.
Sudah tentu usaha terbaru ini melegakan rakyat terbanyak setelah menyaksikan pergolakan politik selama dua tahun kebelakangan ini yang membantut kemajuan negara malah meletakkan negara dalam bahaya ditelan pandemik Covid-19 sehingga membawa malapetaka yang jauh lebih besar.
Sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun hadapan tumpuan dapat diberikan kepada masalah utama yang dihadapi negara.
Walau bagaimanapun perkembangan ini hanyalah satu aspek yang positif dalam pentadbiran kini dan tidak dinafikan adalah natijah daripada keadaan semasa yang melanda negara dengan tekanan pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi serius yang menyebabkan pelbagai masalah yang tidak pernah dilalui rakyat sebelum ini kecuali barangkali semasa sebelum kemerdekaan.
Dan PH juga telah megesahkan penyertaan mereka dalam MoU adalah kerana “rakyat”, juga sebagai memenuhi hasrat Yang diPertuan Agung agar politik negara menjadi stabil bagi menumpu kepada dua isu utama yang dihadapi negara.
Selain daripada perkembangan positif ini, tiada apa yang banyak untuk menggembirakan rakyat. Malah ketika mula-mula memegang jawatan, pemilihan anggota Kabinet oleh Ismail Sabri sudah pun menjadi isu yang besar.
Dengan mengekalkan hampir kesemua individu yang dilantik sebelum ini dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) 1.0 di bawah Tan Sri Mahiaddin, Ismail Sabri hanya menyambung prestasi lemah pentadbiran PN 1.0 itu.
Tidak mungkin akan terjadi sesuatu yang luarbiasa dalam keadaan anggota kabinet lama dikekalkan dengan hanya sedikit perubahan kosmetik apabila beberapa menteri ditukar ke portfolio lain atau beberapa muka baru ditampilkan. Tidak hairanlah kalau rakyat menggelar kabinet ini sebagai cabinet PN 2.0 dan mereka mempunyai asas untuk berkata demikian.
Tentunya mereka belum lupa bagaimana seorang menteri kanan pendidikan beberapa kali membuat u-turn dalam soal pembukaan sekolah dan pelaksanaan P&P secara bersemuka. Juga mereka tidak lupa pada kenyataan tentang “Spanish Flu” yang dibuat oleh seorang lagi menteri dalam kabinet 1.0 yang sekarang ditukar portfolionya.
Tidak termasuk timbalan menteri yang memperlekehkan usaha seorang pelajar di Sabah yang tidak mendapat liputan internet dan seorang menteri kabinet dahulu yang meletakkan jawatan kemudian dilantik semula ke jawatan yang sama oleh Perdana Menteri sekarang.
Kononnya prestasi mereka akan dinilai berdasarkan sasaran tertentu selepas 100 hari. Namun sasaran tersebut tidak diumumkan bagi setiap menteri selain tidak dipaparkan dalam media bagi tatapan rakyat. Justeru ia hanya dilihat sebagai percubaan menutup kelemahan ketara yang terdapat pada barisan kabinet baru tersebut.
Bilangan menteri dan timbalan menteri pula hampir menyamai bilangan di era PN 1.0, dan beberapa hari kemudian mengatasinya dengan kemasukan beberapa individu politik yang dilantik sebagai duta-duta khas dan pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Pelantikan “duta-duta” ini memang mengundang bantahan rakyat. Mereka yang dilantik sebagai duta khas ke rantau-rantau tertentu bukannya merupakan pakar di dalam memahami rantau-rantau tersebut, dan tidak juga mempunyai kredibiliti dari segi keilmuan khusus bagi kawasan-kawasan itu.
Cara mendapat keuntungan daripada hubungan dua hala atau pelbagai hala dengan negara luar ialah dengan melibatkan pakat-pakar hubungan antarabangsa yang terdapat di pusat-pusat pengajian tinggi negara terutama daripada displin sains politik, hubungan antarabangsa, ekonomi dan undang-undang.
Di sanalah pakar akademik sentiasa membuat kajian mengenai negara-negara asing dan memikirkan kaedah hubungan yang boleh menuntungkan negara kita. Bahkan di Kementerian Luar sendiri mempunyai pakar serantau yang boleh dimanfaatkan. Justeru apa perlunya membuat perlantikan khusus “duta-duta Perdana Menteri” tersebut?
Seperkara lagi, prestasi “duta-duta” ini semasa berada dalam kerajaan PN 1.0 juga tidaklah sesuatu yang boleh dibanggakan sebaliknya dilihat hanya diletak ke jawatan tersebut bagi memenuhi tuntutan politik.
Pentadbiran yang tidak stabil akan sentiasa berusaha menstabilkannya dengan apa cara sekalipun walaupun perlu melantik pemimpin politik yang dikira boleh menjamin sokongan kepada kerajaan yang memerintah.
Daripada pelbagai komen di media, jelas “duta-duta” ini bukanlah suatu keperluan langsung kepada kerajaan dan membazir wang rakyat kerana pembaziran wang rakyat memberi segala kemudahan yang diterima menteri kepada mereka.
Juga pelantikan bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yassin mengetuai Majlis Pemulihan Negara sedangkan beliau terpaksa meletakkan jawatan akibat kegagalannya menangani dengan baik masalah negara sebaliknya sibuk membina kekuatan politiknya yang diancam rakan gabungan.
Terbaru, perlantikan Ketua BBC di Parlimen. Individu yang sebelum ini mengundang kontroversi semasa mengetuai sebuah GLC dan juga terpaksa diganti kerana prestasi yang tidak baik dilantik ke jawatan tersebut.
Sebab itulah seorang wartawan veteran menyifatkan Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin yang “ tidak memiliki sedikit pun rasa hormat kepada orang ramai apabila mengangkat Muhyiddin Yassin mengetuai Majlis Pemulihan Negara”.
Apa yang menjadi perhitungan, kriteria dan ukuran utama dalam kerajaan PN 2.0 ini ialah survival politik DS Ismail Sabri dan rakan-rakannya dalam Umno. Lebih tepat lagi kalau dikatakan ia adalah usaha mengekalkan kuasa Umno sehingga PRU akan datang kerana “harga” yang barangkali mesti dibayar ialah dedak politik berupa jawatan Kabinet.
Justeru itu di manakah kedudukan perjanjian yang dimeterai antara PM dan PH itu? Buat masa ini tiada banyak yang dapat disaksikan, perincian perjanjian dan perlaksanaannya masih belum kelihatan.
Namun, tindakan politik Ismail Sabri tidak mencerminkan kerajaan ini menuju ke arah reformasi yang serius kerana melantik individu-individu politik ke jawatan-jawatan yang sengaja diwujudkan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri.
Harapan rakyat masih menjadi harapan.