Dapatkan nasihat peguam, Husam bakal saman bank ternama AS berkaitan 1MDB

Dapatkan nasihat peguam, Husam bakal saman bank ternama AS berkaitan 1MDB

Adun Salor, Datuk Husam Musa sedang berunding untuk mendapat nasihat dari peguam-peguam dari Amerika Syarikat (AS) bagi meneliti penyelewengan beberapa pihak yang bersekongkol dengan pihak yang melesapkan harta rakyat negara ini dalam skandal 1MDB.

“Saya dan beberapa rakan sedang meneliti langkah-langkah untuk menuntut pihak-pihak yang bekerjasama dengan pemain-pemain dalam sakandal 1MDB di AS,” kata beliau dalam ceramah sempena rumah terbuka raya Amanah di Wakaf Bharu, Tumpat Malam tadi.

Berdasarkan pandangan peguam dari AS sendiri kata beliau beberapa pihak seperti bank dan broker-broker yang turut berperanan menjalankan transaksi haram ini harus mengambil tanggungjawab kepada rakyat negara ini.

Orang ramai penuh sesak mengikuti ceramah Amanah di padang hadapan Bank Islam Wakaf Bharu

“Bagi tujuan itu saya dan beberapa rakan selaku rakyat Malaysia yang turut berhak ke atas harta tersebut akan membuat tuntutan melalui proses undang-undang di AS sendiri,” katanya.

Berdasarkan kerjasama peguam dan beberapa pihak katanya sebahagian besar maklumat telah diperolehi dan sudah cukup untuk dikemukakan kepada pihak pengendali keadilan di negara berkenaan.

“Kita akan kemukakan segala kaedah tuntutan yang selari dengan kehendak undang-undang di AS termasuk mengemukakan saman di mahkamah,” katanya.

Menurut makluman yang diberitahu kepada beliau, sebuah bank ternama AS jelas melakukan kaedah transaksi wang MDB yang nyata salah di sisi undang-undang.

“Kita yakin dengan bantuan yang bakal diberi pelbagai pihak di AS sendiri kita akan dapat kemukakan tuntutan ini termasuk menyaman sebuah bank ternama di sana.

“Kalau perlu saya sendiri akan ke AS untuk menjayakan tuntutan ini,” katanya.

Majlis ceramah yang dihadiri ribuan pendengar di padang berhadapan Bank Islam Wakaf Bharu itu turut dihadiri Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Husain.

TAGS