Dapatkan perkenan sultan bubar Dun, gesa Pemuda Amanah

Dapatkan perkenan sultan bubar Dun, gesa Pemuda Amanah

Dalam pergolakan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada masa ini, adalah lebih baik Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman mendapat perkenan sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun), kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Faiz FadzilDalam pergolakan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada masa ini, adalah lebih baik Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman mendapat perkenan sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun), kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri memperuntukkan pelantikan Menteri Besar berpandukan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atas dasar demokrasi.

“Demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang mana rakyat itu mempunyai hak untuk memilih pemerintah. Sultan harus melantik Menteri Besar mengikut kehendak majoriti Adun dan bersandarkan konsep raja berperlembagaan, sultan terikat dengan peruntukan tersebut.

“Jika Menteri Besar hilang sokongan majoriti Adun, ia hendaklah dibuat melalui satu undi tidak dipercayai di Dun,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut pertukaran Menteri Besar, Faiz berkata, pelantikan yang baharu boleh dibuat berdasarkan sokongan majoriti Adun tetapi sebaik-baiknya Dun dibubarkan bagi mendapat mandat rakyat.

“Jika prinsip perlembagaan ini dihormati oleh semua pihak, maka sistem pentadbiran kerajaan akan berjalan lancar dan efisien,” jelas pengamal undang-undang itu.

Sebaliknya, tambah beliau, jika wujud campur tangan pihak istana berkaitan kedudukan seseorang Menteri Besar, kelicinan pentadbiran kerajaan boleh terjejas selain bercanggah dengan inti pati peruntukan dan prinsip perlembagaan.

“Suara rakyat suara keramat. Biarlah rakyat melaksanakan kuasa dan hak mereka yang semakin ditindas dan dizalimi hari ini untuk memilih pemimpin mereka,” tegas Faiz lagi.

 Ahmad Razif Abdul Rahman Spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu berlaku apabila Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuatkuasa Jumaat, 22 April lalu.

Bahkan, sebelum itu pelbagai kemelut politik dilihat menyelubungi kepimpinan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu yang ke-14 sejak dilantik pada 12 Mei 2014 menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Tidak sampai 24 jam Adun Seberang Takir itu berada di tampuk jawatan Menteri Besar, tiga Adun BN dimulai dengan Adun Kijal iaitu Ahmad Said mengumumkan untuk keluar dari Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat bebas diikuti Adun Ajil, Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi, Roslee Daud.

Walau bagaimanapun, sehari selepas itu mereka bertiga kembali menyertai Umno dengan Ahmad Said dan Ghazali memohon maaf kepada Najib Razak manakala Roslee menarik semula surat keluar dari Umno.

Hubungan dingin antara Ahmad Said dan Ahmad Razif yang diperkatakan banyak pihak terbukti apabila Ahmad Said pada 8 Mac lepas mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Ahmad Razif semasa perbahasan titah Sultan Mizan pada Penggal Keempat Sidang Dun ke-13.

Walaupun begitu, Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zuber Embong menolak usul undi tidak percaya tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib Razak yang juga Pengerusi BN pada Isnin, 25 April lalu berkata, akan menghadap segera Sultan Mizan dalam tempoh terdekat berhubung isu Menteri Besar Terengganu itu.

TAGS