DAP, MCA, Gerakan perlu rasional menilai kuota matrikulasi, kata Mahasiswa

DAP, MCA, Gerakan perlu rasional menilai kuota matrikulasi, kata Mahasiswa

 

Mahasiswa AMANAH Nasional mahu DAP, MCA dan Gerakan kembali kepada aspirasi di sebalik penubuhan program matrikulasi yang bertujuan meningkatkan bilangan pelajar Bumiputera dalam jurusan sains, teknologi dan bidang profesional bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi,

Pengerusinya Muhammad Amin Mubarak berkata, semua pihak perlu akui jurang nisbah antara kaum yang terbabit dalam bidang sains, teknologi dan professional agak jauh dan kaum bumiputera masih ketinggalan.

“Statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia hanya 24,891 sahaja kaum bumiputera menceburi bidang perubatan berbanding 48,228 bagi kaum lain.

“Selain itu statistik dari Lembaga Jurutera Malaysia mengeluarkan bawah hanya 36,024 Bumiputera sahaja berbanding 101,478 kaum lain yang terbabit dalam bidang profesional itu.

“Jurang ini sepatutnya dibincangkan dahulu sebelum menyuarakan ketidakpuasan hati kepada kuota matrikulasi kepada bumiputera . Program matrikulasi seharusnya dilihat sebagai ejen untuk memberi keseimbangan dalam dan penyertaan yang holistik kepada rakyat Malaysia di dalam bidang sains dan professional ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Muhammad Amin lagi, inisiatif Dr Maszlee untuk menambahkan kuota matrikulasi kepada 40,000 perlu dipuji kerana dilihat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di samping saluran seperti Diploma, STPM dan lain lain.

“Seharusnya pemimpin MCA, DAP dan Gerakan perlu rasional dalam meletakkan kritikan didalam polisi kuota program matrikulasi ini kerana diskriminasi peluang pekerjaan dan bilangan kemasukan pelajar ke pengajian tinggi adalah dua benda yang berkait.

“Jika inginkan kesamarataan di dalam peluang pendidikan perlu juga wujud kesamarataan di dalam peluang pekerjaan. Jangan kerana nampak kuman di seberang, kita terlupa ada gajah di hadapan kita,” tegasnya lagi.

Pada Khamis lepas Maszlee dalam ucapannya di  Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata,  kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan yang tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Maszlee memberitahu, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.