Darah saya Umno, tetapi saya minta sokong calon Amanah, kata Khairudin

Darah saya Umno, tetapi saya minta sokong calon Amanah, kata Khairudin

Khairudin berkata, darah yang mengalir dalam badan beliau adalah darah Umno tetapi mengajak pengundi sokong Amanah kali ini. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.

Satu sokongan padu terhadap calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli ditunjukkan kumpulan Deklarasi Rakyat, diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun kali kedua ke Kuala Kangsar hari ini.

Dalam satu majlis di pekan Manong hari ini, kesemua pimpinan utama mereka dalam satu nada mahu rakyat menangkan calon Amanah bagi menghantar isyarat jelas kepada Datuk Seri Najib bahawa rakyat sudah tidak mahu lagi beliau menjadi perdana menteri.

Paling tegas marahkan Najib, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan yang digelar “panglima perang” dalam kumpulan Deklarasi Rakyat.

“Darah yang mengalir dalam tubuh saya darah Umno. Tapi hari ini saya sokong calon Amanah Dr Ahmad Termizi.

“Haram untuk kita bagi Umno walau satu undi. Umno sudah mati yang ada adalah parti Najib Razak,” katanya dihadapan kira-kira 500 orang yang hadir.

Orang ramai yang memenuhi program Mahathir dan kumpulan Deklarasi Rakyat di Kuala Kangsar hari ini. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.Dalam ucapannya juga, Khairuddin yang yang sudah “berpatah arang dan berkerat rotan” dengan Umno dan Najib, turut bersumpah dengan nama Allah tidak akan undur ke belakang dan akan mendedahkan salah laku Najib sehingga perdana menteri itu ditangkap.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya akan terus berjuang menentang Najib sehingga beliau ditangkap, tangan beliau digari dan dipenjarakan di Sungai Buloh,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau yang sedang berhadapan pendakwaan di bawah Akta Sosma kerana mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyifatkan Najib seorang penakut.

“Najib bukan pahlawan Bugis, tapi lanun Bugis.

“Kalau Najib pahlawan Bugis, datang ke mahkamah untuk berhadapan dengan kami,” katanya merujuk kepada tindakan Najib yang cuba membatalkan saman yang dikemukakan oleh lima individu termasuk beliau berhubung isu 1MDB.

Selain Mahathir, turut hadir pada majlis itu, pimpinan Amanah termasuk presidennya Mohamad Sabu, bekas Exco Kanan Kerajan Perak Datuk Hamidah Othman dan bekas Naib Ketua Wanita Umno Malaysia Datuk Kamilia Ibrahim yang hadir membuat kejutan.

COMMENTS

Wordpress (0)