Daren tarik diri di saat akhir akibat kecederaan

Daren tarik diri di saat akhir akibat kecederaan

Peluang melihat wakil tunggal negara melangkah ke final dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Malaysia Masters di sini tidak kesampaian apabila Liew Daren menarik diri pada saat akhir saingan separuh akhir akibat masalah kecederaan.

Pemain profesional negara itu dijadual menentang pilihan keempat, Son Wan Ho dalam aksi hari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini tetapi terpaksa memberi laluan percuma kepada pemain Korea Selatan itu ke final apabila mengalami kecederaan tapak kaki kiri.

Permain itu menjelaskan bahawa kecederaan itu berlaku selepas menyingkirkan pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi, pada aksi suku akhir, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertambah serius selepas bangun pagi tadi apabila terasa sakit ketika memijak lantai.

Namun, keazaman untuk meneruskan cabaran tidak mematahkan semangat pemain berusia 31 tahun itu untuk turun ke gelanggang pagi ini tetapi terpaksa akur dengan keadaan ketika sesi memanaskan badan.

“Memang kecewa tapi saya tidak boleh apa-apa, saya harap kecederaan ini tidak serius dan boleh kembali semula dalam kejohanan lain selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, beliau perlu mendapatkan laporan perubatan daripada doktor sebelum memastikan sama ada dapat kembali beraksi atau tidak pada kejohanan Indonesia Masters 2019 di Jakarta, bermula Selasa ini.

Beliau turut memohon maaf dan berterima kasih kepada semua peminat yang hadir sejak hari pertama kejohanan untuk memberi sokongan kepada beliau dan pemain negara yang lain.

— BERNAMA