Malaysia Dateline

Dari anak pesuruhjaya Pas ke DAP kerana agenda inklusifnya

Keterbukaan, inklusiviti, ketelusan dan integriti yang ada pada parti DAP menjadi daya tarikan rakyat pelbagai kaum termasuk golongan muda Melayu, untuk memilih parti itu.

Kerana itulah Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama ramai pemuda Melayu menyertai DAP padahal bapanya adalah bekas Pesuruhjaya Pas Pahang yang kini salah seorang pemimpin AMANAH di negeri itu.

Kini Tengku Zulpuri adalah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP. Bagi beliau, pendirian parti itu telah berjaya menarik golongan profesional, cerdik pandai dan anak-anak muda Melayu.

Menurutnya, golongan itu telah menjadi sebahagian daripada pemimpin yang berwibawa dalam parti.

“Selama beberapa dekad ini, haluan parti DAP adalah betul,” katanya ketika dihubungi ketika media kecoh tentang pandangan seorang Adun DAP agar parti itu tidak mengurangkan kecinaannya yang mendapat bantahan pelbagai pihak dalam kalangan pimpinan DAP.

Sebagai seorang Melayu dalam DAP, Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, beliau melihat DAP jauh ke hadapan dalam soal-soal melibatkan masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, parti itu juga ke depan dalam menolak ideologi cauvinis serta pemikiran sempit secara konsisten dan bersungguh-sungguh.

Pendekatan DAP tersebut katanya, membawa kegerunan dalam kalangan parti lawan.

Tengku Zulpuri Shah berkata, hala tuju perjuangan DAP juga wajar diterangkan secara berterusan kepada semua termasuk penyokong, pendukung serta akar umbi parti.

Beliau berkata, mesej yang perlu diterapkan adalah ‘semua kita adalah rakyat Malaysia walau di mana jua kita berada.’

“(Melaluinya) Pecah perintah, perkauman dan kebencian agama dapat kita hindari.

“Ini supaya generasi baru Malaysia lebih sayang menyayangi dan melahirkan Malaysia yang bebas, berdasarkan prinsip-prinsip hak kemanusian, kesaksamaan keadilan ekonomi dan sosial,” katanya.

Anak kepada bekas Pesuruhajaya Pas Pahang, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid ini menyertai DAP pada 2000.

Selepas itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan termasuk Ahli Majlis Perbandaran Selayang (2009 hingga 2013) dan Adun Mentakab (2013 hingga 2018).

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli.