Dari “Anwarinas” ke “kedondong”, Tuan Ibrahim kini sasaran media Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semalam, portal pro-Umno BNBBC.my melabelkan sikap Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai “buah kedondong”.

Ini gara-gara tindakan Tuan Ibrahim menyiram air batu dengan menyarankan kepada Naib Presiden Umno Datuk Hishamuddin Hussein agar menyuruh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bercuti menunggu siasatan terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion selesai di tengah-tengah kehangatan cubaan Umno untuk memikat PAS untuk bekerjasama.

“Berbeza dengan kedondong, luarnya licin tapi rasanya masam dan di dalamnya ada biji yang berduri. Nyatalah, Tuan Ibrahim kini sudah jadi buah kedondong di dalam partinya apabila bersikap menentang kerjasama UMNO dengan PAS,” tulis BNBCC.my di artikelnya yang turut dipapar oleh AgendaDaily.

Ini bukan kali pertama Tuan Ibrahim diserang oleh media pro-Umno. Ketika Tuan Ibrahim menegaskan bahawa PAS tidak akan memikul biawak hidup sebagai jawapan kepada pelawaan Najib kepada PAS secara terbuka di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini, media pro-Umno BNBCC.my dan MYKMU.net telah menyerang Tuan Ibrahim secara berturut-turut dengan perkataan seperti “ego” dan “Anwarinas.”

Dengan serangan sedemikian, sudah terang dan jelas bahawa Umno kini mensasarkan Tuan Ibrahim sebagai pemimpin PAS yang perlu dijatuhkan.

Namun, apa yang tidak disangka Umno ialah kini bukan sahaja Tuan Ibrahim yang bersuara. Kedua-dua Naib Presiden PAS – Ustaz Idris Ahmad dan juga Datuk Iskandar Samad juga mengambil pendirian yang keras terhadap kerjasama Umno-PAS.

Malah Idris secara terang-terangan menyuruh ahli PAS yang inginkan Umno dan PAS bergabung untuk keluar PAS.

Soalan yang bermain di minda kini, apakah sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap apa yang berlaku?

Apakah beliau akan membiarkan Umno terus menyerang Tuan Ibrahim dan seterusnya Naib-Naib presidennya yang lantang bersuara menentang kerjasama antara Umno-PAS, atau bangkit membela mereka?

CATEGORIES