PRK Tanjung Piai: Dari bilik Exco ke gerai senangin asam pedas

Lutfi kolumnis 100x100Sepuluh hari lalu, saya gagahi diri ke Tanjung Piai, Johor bersama dua rakan karib bagi meninjau secara dekat situasi terkini menjelang pilihan raya kecil. Empat jam perjalanan mungkin mudah untuk orang lain, tetapi cukup memenatkan buat saya. Letih yang menyeronokkan!

Ada teman rapat bertanya, mengapa saya ke sana terlalu awal. Debaran PRK mungkin sudah terasa namun bahang kempen belum terasa lagi. Agak sukar untuk menghayati pola pengundian dalam keadaan seperti itu; setakat makan angin sajalah!

Saya sengaja pergi lebih awal bagi mengelak bertembung kehadiran orang ramai. Sejak uzur empat tahun lalu, yang membataskan pergerakan, saya bagai “kelemasan” jika terkepung dalam kesesakan. Langkah saya tidak teratur, perlu dibantu tongkat dan ada kalanya harus ditolak kerusi roda.

Justeru, saya jarang hadir majlis keramaian, termasuk kenduri saudara-mara dan rakan-taulan, apatah lagi program politik, malah diskusi buku atau aktiviti keilmuan yang diminati pun saya elak. Masalah jantung juga menjadi penyebab saya lebih suka berkurung di rumah. Julai dan Ogos lalu pula saya menjalani beberapa prosedur jantung yang agak rumit.

Saya tergerak hati dan terdorong ke selatan tanahair bukan sangat disebabkan pilihan raya kecil. Sebelum ini berlangsung beberapa PRK, misalnya di Cameron Highlands, Port Dickson ataupun yang lebih hampir dengan kediaman saya, Semenyih dan beberapa lagi melibatkan kerusi Dun Selangor, saya hanya mengikuti dari jauh.

Entah mengapa Johor agak istimewa di hati saya sebelum PRU14 lagi. Saya mengheret kaki ke negeri yang dianggap tiang seri Umno ketika itu. Untuk menguasai Putrajaya, saya kira gelombang kemenangan harus bermula dari Johor. Dan andaian itu ada benarnya. Kejutan malam 9 Mei 2018 itu diawali dengan keputusan tidak dijangka dari selatan, termasuk Tanjung Piai.

Saya bersama Arif Atan dan sahabat rapat, Natjman Zakaria — juga peneman yang sama kali ini — menghadiri majlis makan malam solidariti bersama Mazlan Aliman, di Yong Peng, sekitar April 2017, ekoran kes saman Felda, lebih kurang setahun menjelang PRU14.

Ketika itu gelombang kebangkitan rakyat menyanggah regim kleptokrasi yang mencuri dana awam dalam skala besar, mula membahang. Saya bersyukur dapat menempel diri yang kerdil ini — walaupun dari luar gelanggang — dalam sorakan gemuruh umat menuntut reformasi menyeluruh.

Ternyata Johor banyak menyumbang kepada kekalahan Umno-BN dalam PRU14 itu. Sejumlah 18 daripada 26 kerusi Parlimen negeri itu, yakni sekitar dua pertiga, dapat dikuasai PH, pencapaian yang agak luar biasa.

Ramai pemimpin utama Umno tumbang, termasuk Khaled Nordin, bekas menteri besar, yang bertanding kerusi Dun dan Parlimen. Di peringkat Dun pula, kemenangan membentuk kerajaan negeri yang tidak samar-samar lagi. Menjelang tengah malam 9 Mei 2018, enam jam selepas pusat pengundian ditutup, Umno Johor sudah mengaku kalah.

Selepas tiga Adun Umno menyertai Bersatu, kini PH menguasai 39 daripada 56 kerusi, dengan majoriti selesa meninggalkan BN 16 kerusi dan satu Adun tunggal Pas. Malah jika digabungkan undi BN dan Pas sekalipun, selaras “penyatuan ummah”, kedudukan PH dalam Dun Johor tidak tergugat.

Dengan kata lain, antara negeri-negeri yang baru jatuh ke dakapan PH, Johor kelihatan lebih selesa berbanding Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam kunjungan ke Tanjung Piai, Khamis 17 Oktober itu, destinasi pertama kami adalah pejabat anggota Exco Kerajaan Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad di Kota Iskandar. Haji Dzul merupakan kenalan lama semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, 1980-an. Beliau merupakan teman seangkatan paling muda yang dilantik ke posisi penting Pas negeri, jika tidak silap saya, untuk jawatan timbalan pesuruhjaya perhubungan Negeri Sembilan.

Lebih kurang dua jam kami dilayan mesra, sambil mendapat “taklimat” santai potfolionya, perumahan, komunikasi dan multimedia. Ternyata Dzul cukup begitu menguasai cakupan bidang tugasnya, terutama berkaitan perumahan, memandangkan latar belakang profesionalisme dan pengalaman luasnya dalam bidang berkaitan. Isu perumahan juga kritikal di negeri jiran Singapura itu.

Dzul nampak sihat dan ceria. Adun Kota Iskandar yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri ini prihatin dengan kesihatan saya. Beliau amat memahami rutin dan komplikasi pesakit dialisis seperti saya kerana Dzul juga pernah melaluinya untuk tempoh singkat.

Beliau turut memberi gambaran ringkas tentang profil kawasan PRK Tanjung Piai. Mengakui cabaran buat PH agak getir di sana tetapi menaruh keyakinan, dengan jentera penerangan yang sistematik, pengundi boleh membuat keputusan yang tepat. Dan AMANAH, seperti lazimnya, bersedia untuk bekerja keras membantu mengekalkan kemenangan.

Menyedari Dzul ada temujanji dengan stesen radio tempatan sekitar 2.30 petang dan sudah mengambil banyak masa berharganya, kami mohon beredar. Rakan setugas yang juga wartawan Johor, Amni Jagat sedia menunggu kami di lokasi, khabarnya berdekatan Muzium Bugis.

Pertama kali menuju ke penghujung paling selatan daratan benua Asia ini, saya lebih suka melihat suasana sekitar daripada menghadam lingkungan politiknya. Namun, dalam keadaan tubuh yang lemah dan lesu, saya lebih kerap terlelap sehingga terlepas untuk menghayati perjalanan melalui kampung-kampung tradisional dan pekan-pekan kecil.

Melintasi Pekan Nanas, saya terintai-intai juga ladang buah-buahan kegemaran saya itu tetapi hampa. Pekan Nanas diwakili Adun DAP merupakan satu daripada dua kerusi di bawah Tanjung Piai. Ia dikira kubu PH. Manakala Dun Kukup yang ditandingi calon AMANAH, dilihat medan pertarungan sebenar untuk PRK ini. Pada PRU14, Kukup dimenangi BN dengan majoriti sekitar 800 undi.

Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami di Taman Rekreasi Sungai Rambah. Amni Jagat yang saya kenali sejak bertugas di Harakah memberi panduan mudah, berjumpa dan makan tengah hari dekat tepi pantai, lokasinya, Muzium Bugis.

Pertama kali saya mendengar nama Muzium Bugis, daripada Pak Shukur Harun, wartawan berpengalaman dan kolumnis Mingguan Amanah, yang juga berasal dari Pontian. Penulis gigih berjiwa kental ini beria-ia minta kami singgah muzium tersebut selepas mendapat tahu kami akan melakukan tinjauan awal PRK Tanjung Piai.

Sosok Amni Jagat yang kelihatan bugar muncul di depan mata melegakan saya. Dia penghubung kami dengan daerah asing ini. Lokasi paling selatan itu menyimpan keistimewaan tersendiri dan mungkin juga kejutan terhadap lanskap politik tanahair.

Sebelum mendengar cerita lebih lanjut dari Amni, dia memesan juadah ringkas tengah hari, senangin asam pedas dan sayur campur. Kena dengan selera saya.

Hujan rintik bertukar lebat apabila kami memasuki Muzium Bugis bersebelahan gerai makan tadi. Amni ada tugas lain yang lebih penting.

 

BERSAMBUNG

Dzulkefly berkongsikan maklumat tentang bidang portfolionya, perumahan, komunikasi dan multimedia dengan Ahmad Lutfi Othman di pejabatnya di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar.