Malaysia Dateline

Dari CEO AirAsia, Tony Fernandes kini jadi ‘rider boy’

Tersebar di media sosial gambar Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang kini heboh dikatakan sudah bertukar kerjaya menjadi penghantar makanan.

Tetapi jika dilihat, beliau bukanlah bekerja sebagai ‘rider’ bagi syarikat perkhidmatan penghantaran makanan terkenal, Foodpanda dan Grabfood.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagramnya sendiri, beg makanan di dalam foto berkenaan tertulis ‘airasia.com/food’ yang merupakan antara perkhidmatan terbaru disediakan AirAsia untuk pelanggan.

“Getting ready to make food deliveries to your house. (Bersiap sedia untuk menghantar makanan ke rumah anda.),” tulisnya dalam status tersebut.

Meneliti ruang komen CEO itu juga, beliau berkata perkhidmatan airasia food dijangka akan diperluaskan ke Indonesia hujung tahun ini.

Status tersebut yang dimuatnaik semalam sehingga kini meraih lebih 14,000 tanda suka dengan hampir 500 komen yang ditinggalkan.

airasia food adalah platform dalam talian penghantaran makanan baharu yang menyokong perniagaan dan francais tempatan terutama dalam tempoh hampir semua syarikat penerbangan di seluruh dunia mengecilkan saiz pekerja akibat pandemik Covid-19

Seperti diketahui juga, AirAsia tidak terlepas dari krisis Covid-19 dan sudah dua kali syarikat penerbangan tambang rendah itu terpaksa mengurangkan tenaga kerjanya.