Malaysia Dateline

Dari isu Adib hingga pemandu mabuk: Ulama Pas perlu desak menteri parti tangani

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat sayap ulama Pas perlu berperanan mendesak menteri dari parti itu untuk menyelesaikan pelbagai perkara yang mereka bangkitkan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, tindakan seorang ulama Pas tampil menjawab isu Wahabi yang kononnya dipalitkan dengan parti itu adalah pelik dan tidak diketahui sama ada berfaedah kepada Pas.

Walhal, jelasnya, golongan Wahabi di negara ini tidak terlalu terlibat dalam politik sebaliknya dianggap kalut dengan polemik sunnah, bid’ah dan polemik tauhid tiga dan Sifat 20 sahaja.

“Apa faedahnya tuduh parti itu Wahabi? Ada ke sesiapa yang tuduh parti itu Wahabi? Penting sangatkah parti itu jadi Wahabi atau bukan Wahabi?

“Parti itu parti politik. Tup tup terbit berita, ada orang tuduh parti itu Wahabi. Apa kaitan Wahabi negara ini dengan politik parti itu?

“Tak payah alih tajuk kepada Wahabi pulak. Fokus kepada tajuk asal. Wahabi itu bukan tajuk asal yang patut ulama parti itu bersuara.

“Ulama parti kena desak, arah, suruh, perintah, tekan, kejan, hentam menteri parti itu agar tunaikan perkara yang parti itu bising sebelum ini,” bidasnya.

Pada 25 Mei lalu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Zulkifli Ismail di Harakahdaily mendakwa ada pihak tertentu menyemarakkan tuduhan kononnya parti itu membawa agenda Wahabi.

Zulkifli menganggap tuduhan itu sebenarnya dilakukan oleh golongan yang dikuasai kebencian hitam terhadap Pas.

Mengulas lanjut, Zolkharnain menyelar kecenderungan pemimpin Pas itu yang membangkitkan isu Wahabi walaupun sama sekali tiada kaitan dengan kes pemandu mabuk.

“Tangkap penyebab kematian Adib, hukum berat pemandu mabuk, bawa ke Parlimen aryuyu (RUU) 355, tutup premis arak, laksanakan hudud, haramkam Dong Zhong, basmi LGBT… .

“Apa dok main kenyataan nafi bukan Wahabi pulak? Apa kena-mengenai Wahabi dengan pemandu mabuk?

“Hangpa nak jadi Wahabi ka, wasabi ka, itu bukan isunya,” tempelak Zolkharnain lagi sambil mengakui beliau sendiri menolak Wahabi.