Malaysia Dateline

Dari isu LGBT, ICERD: Mujahid jawab kritikan perwakilan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjawab kritikan perwakilan Konvensyen Nasional AMANAH berhubung pendiriannya sebelum ini dengan beberapa isu kontroversi melanda negara.

Antaranya, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan ratifikasi serta Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut, reaksinya berhubung isu terbabit adalah atas kapasiti beliau memegang portfolio agama.

“ICERD itu menentang perkauman. Tentu sahaja kita sokong apa-apa yang melawan perkauman,” ujarnya pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Beliau juga mengulas tentang reaksinya berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy ketika menjadi pemimpin Hindraf 10 tahun lalu.

“Saya menafikan saya tidak katakan begitu. Saya hanya kata (dakwaan Moorthy sebelum menganggotai Kabinet) bukan tanggungjawab kerajaan hari ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mujahid berharap agar perwakilan dan ahli AMANAH tidak terperangkap dengan permainan musuh di media sosial.

Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan juga menyenaraikan pencapaian positif beliau dalam tempoh awal menganggotai Kabinet bukan sekadar isu LGBT semata-mata.

Antaranya, pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara dan pengukuhan skim pembiayaan tahfiz.

Menyentuh tentang perbandingan AMANAH dan Pas, Mujahid menafikan parti berteraskan Rahmatan Lil Alamin itu bersaing dengan parti hijau tersebut.

“Kita bukan bersaing dengan Pas. Kita bersaing untuk membawa naratif baharu Pakatan Harapan (PH) yang membawa naratif baru bagi Malaysia Baru,” tegasnya disambut tepukan gemuruh perwakilan dari 162 Kawasan.