Malaysia Dateline

Dari isu pemandu mabuk hingga faedah bank: ‘Hairan Pas mendiamkan diri’

Pas dilihat mendiamkan diri dalam isu yang berbangkit seperti pemandu mabuk dan faedah bank walaupun telah menjadi pertikaian oleh asatizah Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor.

Ketuanya, Azam Razak berkata, Pas seperti tidak jujur dalam memperjuangkan isu yang selama ini dibawa dengan menggunakan sentimen agama bagi meraih perhatian umum.

Katanya, perkara berbangkit seperti isu kedai judi dan sebagainya sebelum ini diperjuangkan hangat oleh Pas tetapi hari ini menjadi sepi.

“Hairan bila Pas mendiamkan diri dalam isu-isu yang mana sebelum ini merekalah juaranya. Isu seperti pemandu mabuk, kedai judi, faedah bank dan banyak lagi sehingga ketika ini tidak ada hujah bernas dari Pas.

“Persoalan yang timbul apakah disebabkan habuan yang telah diterima mereka sehingga membuatkan mereka diam atau seketika menjadi bisu?

“Ia menggambarkan kejujuran Pas dalam membawa isu tersebut hakikatnya hanya wayang bagi mengaburi mata orang ramai,” katanya.

Azam turut menyifatkan Pas tidak boleh dipercayai kerana parti tersebut telah mempergunakan sentimen agama bagi meraih sokongan.

Menurutnya, cara Pas berdiam diri ini adalah gambaran bahawa mereka sendiri tidak bersungguh dalam memperjuangkan isu yang selama ini mereka hebohkan.

“Saya simpati kepada umat Islam di negara ini yang mempercayai Pas kerana lumrah hari ini dilihat mereka (Pas) tidak konsisten dalam membawa agenda yang mereka sebut-sebutkan.

“Mengapa Pas perlu takut hilang jawatan untuk membicarakan perkara yang betul? Tindakan mereka yang membelakangi suara rakyat seperti mengambil alih tampuk kerajaan tanpa piliharaya juga telah menggambarkan hakikat sebenar perjuangan mereka.

“Umat Islam di negara jelas hanya menjadi alat Pas untuk terus dipergunakan bagi meraih sokongan dan simpati padahal mereka tidak pun bersungguh untuk membawa suara Islam. Bila ada jawatan suara mereka pun akan menjadi bisu,” katanya lagi.

Tambahnya, Pas pastinya akan mempergunakan dalil bagi mencari jalan keluar merelakan apa yang mereka lakukan hari ini.