Dari kecil jiran kata muka sama, wanita terkejut kawan baik bangsa India rupanya kakak kandung

Oleh KIM SYAZIE

Kisah dua orang kawan baik berlainan bangsa dan agama yang akhirnya mengetahui mereka sebenarnya adalah adik beradik kandung, menarik perhatian ramai di media sosial.

Difahamkan, Madam Fatimah Mohidin, 71, berbangsa Melayu dan Thangah Koh, 72 berbangsa India merupakan dua orang wanita yang sudah berkawan baik sejak kecil lagi. 

Malah, jiran-jiran mereka juga ada menegur dan memberitahu bahawa wajah mereka kelihatan seiras.

Semasa membesar, keluarga mereka sering memberitahu untuk bermain bersama-sama namun tidak mempersoalkan alasannya. 

Diceritakan, sewaktu Madam Thangah (Kok Siew Kiang) masih bayi, dia sering jatuh sakit dan kerana percayakan tukang tilik, ibu bapa Madam Thangah menyerahkan kepada sebuah keluarga berbangsa India kerana dikhuatiri boleh membawa nasib malang kepada bapa kandung.

Setahun kemudian, Madam Fatimah (Koh Siew Lang) pula dilahirkan dan ketika itu, ibu jari kakinya mempunyai saiz besar dan ia dipercayai boleh membawa nasib malang buat ibu kandung, jadi Madam Fatimah seawal usia dua bulan telah diserahkan kepada keluarga India yang sama.

Namun, atas kekangan wang untuk menanggung dua anak kecil serentak, mereka dipisahkan dengan menyerah Madam Fatimah kepada keluarga bangsa Melayu.

Sehingga pada usia 20 tahun, Madam Thangah mahu mendaftar kad pengenalan dirinya dan daripada situ satu persatu mula terbongkar.

Ketika mereka akhirnya bertemu, bapa kandung mereka mendedahkan Madam Fatimah merupakan adik kepada Madam Thangah dan kesemua pihak menerima takdir dengan hati terbuka.

Kini, hubungan kekeluargaan sesama mereka terjalin dengan penuh harmoni, di mana setiap kali perayaan, masing-masing pasti akan kunjung rumah antara satu sama lain.

Baca juga: “Mentua belum terima aku lepas 17 tahun kahwin, semuanya berpunca dari kulit aku”