Malaysia Dateline

Dari krisis politik ke krisis kesihatan

Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita dan juga seluruh dunia boleh dikategorikan sebagai krisis kesihatan dan krisis global. Wabak yang bermula di Wuhan,China telah merebak ke seluruh dunia yang melumpuhkan segala kegiatan manusia sejagat.

Namun bagi negara kita ia berbeza dari segi krisis itu bermula. Ia bermula dengan krisis politik yang menyebabkan krisis-krisis lain tercetus. Ia bukan bermula dengan krisis kesihatan. Mengapa?

Semasa hari terakhir PH memerintah, menteri kesihatan ketika itu, Dr.Dzulkefly Ahmad telah memuat naik laporan kes covid-19 di media sosialnya dimana hanya terdapat 2 kes yang masih aktif dan tidak pertambahan kes selama 6 hari berturut-turut menjadikan jumlah kumulatif kes hanya 22.

Namun apabila langkah Sheraton berlaku, kerajaan PH yang dibentuk oleh mandat rakyat tumbang, manakala seluruh penjawat awam tidak berkerajaan seminggu lebih yang menyebabkan segala arahan baru berkaitan mengawal pandemik dijalankan secara ‘auto-pilot’.

Keadaan ini menyebabkan kawalan yang dilakukan untuk mengawal pandemik merebak lebih banyak tempang dan bocor. Kesannya pandemik ini berada di tempat keramaian seperti majlis agama dan perkahwinan yang telah mewujudkan kluster terbesar sehingga memerlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Maka dalam konteks Malaysia, ia bermula dengan krisis politik yang menjadikan krisis kesihatan berlaku. Pelaksanaan PKP telah memunculkan pula 3 krisis lain iaitu krisis ekonomi, krisis pendidikan dan krisis keyakinan.

Krisis ekonomi berlaku apabila segala kegiatan ekonomi terpaksa ditangguhkan dalam tempoh yang agak lama. Penangguhan ini telah merencatkan kitaran ekonomi negara kita. Tiada transaksi wang yang banyak berlaku dalam ekonomi dan perniagaan yang dulunya mempunyai keuntungan yang banyak lingkup dengan sekelip mata.

Selain itu, anak bangsa kita terpaksa dikurung di dalam rumah masing-masing dengan menjalani proses pembelajaran yang serba kekurangan itu. Bertahun-tahun anak bangsa menjalani proses pendidikan secara bersemuka, tiba-tiba diubah dengan sekelip mata menggunakan teknik pendigitalan tanpa ada sebarang langkah demi langkah. Tiada proses pembelajaran selama berbulan-bulan menjadikan negara kita mengalami krisis pendidikan.

Sukarnya kerajaan untuk menguruskan pandemik ini akibat mainan politik, menyebabkan rakyat mula tidak yakin kepada kepimpinan yang ada hari ini. Seterusnya mewujudkan krisis keyakinan.

Ketiga-tiga krisis yang wujud akibat krisis kesihatan dan politik ini memberi kesan yang mendalam pada keadaan sosial negara kita.

Lihatlah apa yang berlaku pada ekonomi rakyat yang lumpuh telah mendorong mereka melakukan jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dengan keadaan mereka yang tersepit, mereka terpaksa melakukan perkara yang bukan kebiasaan mereka.

Anak bangsa kita pula yang telah lama hilang tumpuan dalam pelajaran akan cenderung melakukan kegiatan negatif dalam masyarakat. Mereka mula memilih untuk menjadi pelumba motor tidak berlesen, mengambil najis dadah untuk menghilangkan kesensaraan hidup dan mengamalkan gaya hidup bebas sehingga membawa kepada seks bebas.

Disebabkan wibawa kepimpinan mula merosot, politikus akan membuat apa sahaja untuk memastikan mereka kekal ditampuk kuasa. Oleh itu, rasuah dan penyelewengan semakin berleluasa tanpa ada rasa segan lagi.

Bukankah semua ini merupakan krisis sosial yang telag berlaku di negara kita? Dan persoalan yang lebih besar lagi, bukankah kesemua ini berpunca dari langkah politik politikus rakus yang tidak menghormati mandat rakyat?

Negara luar mengalami krisis kesihatan yang tulin, dan mereka mampu memulihkannya kerana kepimpinan mereka kekal utuh dan menyakinkan. Sebaliknya negara kita kekal terperangkap dengan pelbagai krisis akibat kelemahan kepimpinan.

————
Penulis adalah peminat politik tanah air.