Malaysia Dateline

Tun Mahathir Zahid Hamidi

Dari mana Zahid dapat RM230 juta? soal Mahathir

Mahathir mendakwa Zahid mendedahkan beliau mempunyai RM230 juta dalam akaunnya ketika itu.

“Berkenaan dengan Melayu mudah lupa, walaupun Zahid bukan keturunan Melayu, sudahkah Zahid lupa deklarasi harta yang dibuat olehnya kepada saya sebagai Perdana Menteri apabila ia dilantik Ketua Pemuda Umno.

“Apabila saya tanya dari mana ia perolehi 230 juta Ringgit yang ada dalam akaunnya, jawapannya kurang jelas.

“Jikalau ia boleh ingat, jelaslah dari mana ia perolehi wang yang begitu banyak,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di blognya semalam.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menimbulkan persoalan itu ekoran serangan Zahid yang juga Naib Presiden Umno terhadapnya Ahad lalu dengan mengungkit keturunan beliau berdarah campuran India.

Zahid ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya Ahad lalu mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, “Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).”

“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.