Dari menteri sampai ke pengarah Prasarana tidak faham kepayahan rakyat bergantung pada pengangkutan awam

Oleh KIM SYAZIE

Ribuan penumpang pengangkutan awam mengeluh terpaksa menunggu selama tujuh hari susulan 16 stesen Perkhidmatan Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ditutup sejak semalam kerana mengalami masalah sistem pemanduan automatik.

Lebih menyukarkan, ramai mendakwa jumlah perkhidmatan bas perantara yang disediakan tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang selain masa perjalanan tidak ditepati dengan baik oleh pemandu bas.

Selain itu, tujuh hari menurut mereka adalah terlalu lama apatah lagi sebahagian besar pengguna menggunakan pengangkutan awam untuk ke kerja.

Gambar dikongsi pengguna media sosial

Hal ini kemudian mendapat perhatian calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mengkritik kerajaan kerana tidak memahami kesusahan rakyat Malaysia yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan awam.

“Kalau dari awal mereka cakna dengan sistem pengangkutan awam, terutamanya LRT laluan Kelana Jaya yang banyak masalahnya, dari awal lagi pelan perancangan dan penambah-baikan kualiti dijalankan.

“Permasalahan di sini, mengikut sidang media pagi tadi, mereka masih lagi menyiasat punca berlakunya kejadian tersebut! Seharusnya perkara seperti ini disiap siaga dari awal dan bukan secara tiba-tiba!

“Sudahlah begitu, respons dari pihak berkuasa juga benar-benar lambat! Orang ramai sudah terkesan dari semalam,” tegas Lim dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim, LRT laluan Kelana Jaya ini adalah nadi pengangkutan yang paling utama bagi orang ramai di bandaraya Kuala Lumpur. Lumpuhnya sistem pengangkutan ini, maka lumpuhlah mobiliti orang ramai di sekitar Kuala Lumpur.

Tambahan pula, kerosakan ini dilaporkan akan mengambil masa selama tujuh hari lamanya dan memberi kesan kepada laluan ini yang paling sibuk.

Katanya, jika sistem pengangkutan di negara-negara maju yang lain rosak untuk setengah hari, masyarakat umum pasti sudah keluar membawa sepanduk di jalanan meminta untuk ditukar kerajaan mereka.

Tangkap layar orang ramai berebut menaiki bas perantara

“Segala bentuk sumpah seranah telah diberikan oleh rakyat umum. Di Parlimen juga, perkara seperti ini sering dibahaskan.

“Akan tetapi, pihak kerajaan sepertinya menutup sebelah mata, menekap telinga mengendahkan perkara-perkara yang berlaku.

“Menteri Pengangkutan Sementara, Wee Ka Siong juga sehingga saat ini, masih tiada apa-apa tindakan di atas kejadian yang berlaku mahupun kenyataan kemas kini,” katanya lagi.

Baca juga: Ketika 16 stesen LRT ditutup 7 hari, mana Wee Ka Siong dan Tg Zafrul?

Baca juga: Tujuh hari tutup operasi LRT Laluan Kelana Jaya bermula 6 pagi tadi, Rapid Rail masih tak kenal pasti punca masalah