Malaysia Dateline

Dari Muhyiddin kepada Mahathir: Maszlee kembali kepada prinsip perjuangan

Selepas dipersoal banyak pihak tentang pendiriannya berhubung krisis kepimpinan negara, pemimpin Bersatu, Dr Maszlee Malik akhirnya memilih untuk “kembali kepada prinsip perjuangan yang sebenar”.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau kembali kepada para penyokong, rakan-rakan, keluarga, pengundi dan rakan-rakan seperjuangan apabila terpaksa memilih antara ketaatan dan prinsip.

Mengakui keadaan sudah semakin rumit, Dr Maszlee memberitahu, beliau mengingatkan siapa dirinya, mengapa beliau menceburi politik, dan sebab rakyat Simpang Renggam memilih untuk mengundinya pada PRU-14.

“Mereka tidak akan redha untuk saya bekerjasama dengan watak-watak yang sama-sama kami jatuhkan sewaktu PRU-14, lantas meninggalkan rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama berkorban dari awal.

“Keputusan ini adalah muktamad, kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa tersebut memohon maaf atas atas kekhilafannya selama ini serta pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menegur.

“Sebagai seorang manusia biasa, saya juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Banyak yang berlaku dalam hidup saya sepanjang dua bulan ini. Ditendang, disalahfahami, dikecam, dimusuhi kerana isu-isu yang saya sendiri tidak pilih.

“Di dalam politik, saya orang baharu. Tetapi prinsip sayangkan negara, letakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik, telah lama ada,” ujarnya.

Sebelum ini banyak pihak mempersoal pendirian politik Dr Maszlee yang hadir menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan beliau dilihat menyokong Muhyiddin dalam kemelut peralihan kuasa susulan tindakan Bersatu menarik diri daripada PH.

Mengulas hal itu, Maszlee berkata, pendiriannya berubah selepas duduk bersama dengan para pemimpin Umno yang turut hadir dan akan membentuk kerajaan bersama yang baru.

“Hati saya mula merasa berat. Sangat berat. Ada di antara mereka yang masih diselaputi isu-isu rasuah dan penyelewengan termasuk di Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, yang dahulunya puas saya berusaha membersihkan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.

“Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah saya bersedia untuk menerima semula mereka?

“Lalu menjadikan mereka pemimpin negara semula setelah mereka ditolak oleh rakyat dan ada di antara mereka yang sedang menghadapi proses pengadilan?” ujarnya lagi.