Dari negara Islam ke negara Rahmah

Kita bersengketa  kerana kita tidak mahu menerima kebaikan orang lain sebagai sesuatu yang baik, tetapi tetap menukarkan kebaikan itu menjadi sesuatu yang buruk dan tidak bermanfaat.

Itulah sikap sebenar di antara kita, walaupun percaya bahawa penyatuan adalahkaedah terbaik tetapi dalam amalan seharian dan pemikiran kita sendiri mencari jalan untuk berpecah. Itulah penyakit besar yang sedang melanda diri kita sendiri.

Persekitaran politik kita pula amat memalukan,loya dan diselaputi najis. Isu seks terus bermaharajalela, adu domba,fitnah dan bermacan cara dilakukan semata-mata untuk menjatuhkan seteru politik atau siapa sahaja yang diingini.

Falsafah ‘Negara Rahmah’ meletakkan kedudukan rakyat sebagai kuasa retorik baharu bagi menutupi kesilapan silam. Negara rahmah sebenarnya sudah lama dipraktikkan oleh kepimpinan yang memerintah sebelum ini.Apakah tidak ada kasih sayang dalam islam hadhari mahupun islam wasatiyyah dan lebih-lebih lagi dalam negara berkebajikan yang menjadi slogan penting untuk menark perhatian umat Islam akan pentingnya prinsip ini

Prinsip keperluan asas telah dipenuhi maka, retorik ‘Negara Rahmah’ itu sebenarnya satu strategi untuk melepaskan diri dari terus dipersoalkan mengenai janji pilihanraya yang lalu. Tidak mempunyai kekuatan untuk memperoleh sumber membiayainya kerana apa yang diharapkan tidak pernah menjadi, belum pun sampai tengah hari, hujan turun sehingga bakal melemaskan laluan politiknya sendiri.

Dalam situasi politik Malaysia juga kita harus memikirkan bahawa, kemewahan dan kesenangan yang kita nikmati
sekarang adalah atas dasar kecekapan dan kegigihan pemimpin terdahulu.

Kita perlu memberi mereka penghormatan dalam konteks pengorbanan dan kebernasan pemikiran mereka. Kita perlu melahirkan rakaman terima kasih kepada mereka kerana atas usaha gigih merekalah kita dapat menikmati kesenangan yang kita miliki sekarang.Ingat segala-galanya akan diubah walaupun yang mahu diubahkan itulah
telah banyak berjasa.

Lebih banyak idea yang bodoh akan terkeluar kerana sesetengah pihak sebenarnya sedang melaksanakan strategi kempen kelam-kabut apabila merasakan kedudukannya semakin berkecamuk.

Mereka terus dilanda sindrom takutkan kekalahan kerana rakyat semakin matang. Rakyat tidak lagi mudah termakan dengan janji-janji kosong kerana janji lamanya masih banyak yang belum ditunaikan.

Sebuah tamadun yang berkesan ialah setiap rakyatnya menunjukkan komitmen tinggi dalam menentukan kelangsungan hidup dengan bantuan semangat dan kesungguhan penyediaan kemudahan asas.

Maka di sinilah kita seharusnya kembali membulatkan tekad, mengarahkan setiap kesungguhan dalam satu visi, menghormati setiap perbezaan sebagai kelebihan, dan budaya memberi lebih besar daripada budaya meminta. Bahkan Islam sentiasa mengingatkan setiap penganutnya agar sentiasa memberikan sedekah. Sedekah itu
bukan terhad kepada material, ia turut melibatkan penggunaan kata-kata yang baik termasuk ketika berdoa.

Orang Islam diminta berdoa untuk kesejahteraan semua orang melalui amalan ibadat seseorang secara individu. Doa yang akan dimakbulkan oleh Allah SWT ialah doa yang terlahir dalam kalimat puji-pujian dan kesyukuran, doa berseru kepada kebaikan manusia sejagat dengan tidak menampakkan kesombongan diri.

Ia termasuk setiap manusia dan makhluk yang ada. Maka, di sinilah pentingnya ikon penyatuan sesama manusia. Keyakinan politik bukanlah faktor penghalang, keinginan seseorang bukanlah menjadi tembok yang memisahkan.  Tembok yang memisahkan pelbagai pihak dengan pelbagai keyakinan perlu diruntuhkan, dibina
semula tembok penyatuan yang lebih besar dan kukuh.

Seruan melaksanakan penyatuan merupakan keazaman yang terbesar yang perlu dilaksanakan oleh setiap pemimpin. Penyatuan antara parti-parti politik yang ada tidak akan menjadi kenyataan apabila antara mereka tidak mempunyai kemahuan bersama untuk bersatu.

Kekecohan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara perlu kita jadikan pengajaran yang berguna. Meskipun ada kemarahan rakyat terhadap pemimpin mereka, kemenangan mengusir teraju kepimpinan negara dalam kebangkitan revolusi rakyat masih tidak menunjukkan tanda akan cepat berakhir.

Mesir masih terus bergelumang dengan keretakan dari dalam; Libya masih tetap dengan keputusan akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir; Yaman terus dibelenggu krisis ekonomi dan lompong politik yang lebih besar, manakala Tunisia masih terbelenggu dengan tekanan pasca revolusi bagi menentukan siapakah yang
mampu memimpin secara berkesan.

Sebagai umat yang satu, berlandaskan prinsip budaya salam, sesiapa sahaja yang mencipta perpecahan dan kebencian antara sesama manusia demi kepentingan peribadi dan duniawi, dia sebenarnya telah mengkhianati hakikat kejadian manusia itu sendiri.

Dia telah melanggar perintah Allah SWT agar manusia hidup dengan aman dan damai, mencemarkan teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka itu sebenarnya berada dalam kelompok orang yang zalim. Dia telah menzalimi dirisendiri dan menzalimi orang yang memberikannya kepercayaan dan harapan.

Tanpa mengira perbezaan politik, kita sebenarnya adalah umat yang sama. Kita orang Islam tetap dengan keyakinan keesaan Allah SWT, membaca kitab yang sama dan mempertahankan kalimah syahadah yang sama tetapi mengapa perbezaan politik menyebabkan kita mudah bersengketa.

Kita angkuh dengan kelompok kita sendiri. Kita angkuh dengan pendapat kita sendiri, sedangkan kita percaya pendapat yang banyak adalah lebih baik daripada seorang.

Persoalannya, adakah kita menghormati orang lain apabila kita juga memerlukan orang lain menghormati kita? Itulah pertanyaan yang harus dijawab oleh kelompok ahli- ahli politik kita.

Jangan jadi menang sorak, kampung tergadai kerana perjuangan asal sudah berada dalam metamorfosis untuk menjadi kupu-kupu (dari negara Islam ke negara rahmah) yang bakal menjadi tunggangan kelompok yang terus tidak berganjak untuk menerajui kepimpinan negara, walaupun masih belum selesai dengan persoalan moral
dan hakisan pesona sebagai seorang pemimpin yang boleh diamanahkan.

*Kolumnis adalah Pengarah Media Dan komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia(OMIW)