Malaysia Dateline

Dari pejabat ke kediaman Dr Mahathir

Setakat jam 10.25 pagi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dikatakan telah meninggalkan Pejabat Perdana Menteri.

Lapor Malaysiakini yang memetik sumber, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada di Pejabat di Perdana Putra hari ini.

Difahamkan Anwar dan Guan Eng bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kemudiannya menuju ke rumah Dr Mahathir di Seri Kembangan.

Pada jam 10 pagi tadi, Menteri termasuk dua pimpinan tertinggi dalam komponen Pakatan Harapan (PH) dikatakan sudah berada di Pejabat Perdana Menteri bagi bertemu dengan Dr Mahathir.

Wan Azizah dilaporkan tiba menggunakan laluan rasmi menteri dan timbalan menteri, pada jam 8.50 pagi tadi.

Manakala Anwar Ibrahim yang meninggalkan kediamannya di Segambut pada jam 8. 24 pagi tadi, tiba di PMO pada jam 9.26 pagi.

Guan Eng pula dikatakan tiba pada jam 9.36 pagi.

Difahamkan, pertemuan diadakan dengan Pengerusi Bersatu itu susulan polemik politik PH sejak petang semalam.

Perkembangan terbaru pula, Wan Azizah bersama Anwar dijangka bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada jam 2 petang.