Malaysia Dateline

Dari pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia ke kluster terbesar Covid-19

Baru sebulan lalu, Top Glove Corporation Bhd merekodkan untung sebanyak RM1.87 bilion dan menjadi pengeluar sarung tangan getah paling besar di dunia, tetapi kini syarikat ini juga menjadi pusat untuk kluster Covid-19 terbesar di Malaysia.

Kilang sarung tangan dan kuarters pekerja syarikat ini yang terletak di Klang adalah pusat kepada kluster Teratai, kluster terbesar wabak ini bahkan dijangka akan melepasi kluster aktivis jamaah Tabligh iaitu kluster Sri Petaling, lapor The Malaysian Insight.

Kluster Sri Petaling, iaitu kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini yang mula dikesan pada 11 Mac lalu, diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu merekodkan 3,375 kes positif Covid-19 selepas seramai 42,023 individu disaring sehingga 7 Julai, dengan kadar positif 8.03 peratus.

Selain di Klang, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor, kluster Teratai juga direkodkan di Kepong dan Cheras Kuala Lumpur.

Sehingga kini lebih 6,000 telah disaring menerusi kluster ini di mana sehingga dua hari lepas (23 November), seramai 5,767 orang telah disaring.

Sehingga tarikh itu, 2,524 telah disahkan positif manakala 1,913 masih lagi menunggu keputusan ujian saringan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kluster ini mula dikesan pada 7 November.

Sementara itu, Selangor terus mencatatkan peningkatan kes harian empat angka apabila merekodkan sebanyak 1,623 kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) semalam.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), daerah Klang mencatatkan 1,537 kes di mana kebanyakannya membabitkan Kluster Teratai yang melibatkan kakitangan di kilang sarung tangan Top Glove.

Selain itu, daerah Hulu Langat pula merekodkan 29 kes manakala Petaling (31), Kuala Langat (29), Sepang (4), Gombak (9) dan Kuala Selangor (2).

Dalam perkembangan sama, daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula masing-masing dilaporkan tidak merekodkan sebarang pertambahan kes baharu Covid-19 hari ini.