Dari pereka fesyen, kini menantu PM ceburi bidang farmasi

Oleh NASUHA RAHMAN

Pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie kini dikatakan telah menceburi bidang farmasi dan ubat-ubatan selepas satu majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara beliau dengan Selcare Pharmacy ditandatangani pada 21 Januari 2022 lalu.

Ini susulan tularnya beberapa keping gambar berhubung MoU itu antara syarikat terbabit dengan Jovian atau menantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Syarikat menantu Ismail Sabri, Jovian Pharma Sdn Bhd ditubuhkan pada 3 September 2021 di mana Jovian Mandagie bertindak sebagai Pengarah Eksekutif syarikat.

Dari pereka fesyen, kini menantu PM ceburi bidang farmasi
Gambar-gambar menantu Perdana Menteri yang sedang tular

Syarikat itu terbabit dalam jualan runcit barangan farmasi, perubatan dan ortopedik, lapor Agendadaily.com

Beberapa keping gambar Jovian dan Pengarah Eksekutif Selgate Healthcare Sdn Bhd, Noor Hisham Mohd Ghouth memegang dokumen MoU. Manakala sekeping lagi menunjukkan Ismail Sabri dan Jovian bergambar bersama sambil menggayakan pakaian.

Ketika menjadi Menteri Kanan Keselamatan sebelum ini, Ismail Sabri popular dengan kepelbagaian baju warna-warni dipakainya ketika mengadakan sidang media harian berkaitan Covid-19. Baju itu dipercayai direka khas menantunya, Jovian yang juga seorang pereka fesyen terkenal.

Difahamkan, Selgate Healthcare Sdn Bhd adalah anak syarikat Selgate Corporation – milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) – yang menumpukan kepada penyediaan penyelesaian penjagaan kesihatan terbaik untuk orang ramai.

Sebelum ini, Jovian turut menjadi perhatian apabila beliau didakwa menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir besar pada Disember lalu.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Instagram rasminya, Jovian menegaskan beliau tidak akan sesekali menggunakan harta benda yang bukan miliknya selain menganggap tuduhan terbabit satu fitnah.