Malaysia Dateline

Dari perkarangan mahkamah hingga ke Parlimen, MP Baling langgar SOP

Himpunan menyokong Datuk Seri Najib Razak pagi ini turut menyaksikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang jangkitan Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkenaan dilihat berarak bersama-sama kumpulan penyokong Najib tanpa memakai pelitup separuh muka.

Azeez hadir dalam perhimpunan kira-kira 2,000 peserta dengan sebahagiannya warga emas yang terbukti sebelum ini merupakan kumpulan usia berisiko tinggi dijangkiti pandemik Covid-19.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada Julai 2013 hingga Mei 2018 itu juga sama sekali dilihat tidak mengamalkan penjarakan sosial satu meter seperti kerap kali diingatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham Abdullah

Pada 23 Julai lalu, Dr Noor Hisham telah mengingatkan bahawa kes positif Covid-19 akan meningkat mendadak jika kadar kebolehjangkitan naik kepada lebih 1.6, ekoran kegagalan rakyat mematuhi SOP.

Tindakan Azeez dilihat mengundang kebimbangan risiko penularan jangkitan Covid-19 kepada 221 Ahli Parlimen lain.

Azeez tanpa memakai pelitup muka ketika berarak di mahkamah kemudiannya hadir di persidangan Dewan Rakyat pagi ini.