Malaysia Dateline

Dari Piala Malaysia, KL City buru Piala AFC selepas tewaskan ATK Mohun Bagan dari India

Selepas berjaya menjadi juara Piala Malaysia tahun lalu, pasukan KL City kini memburu piala AFC pula dan malam tadi mereka berjaya menewaskan pasukan dari India, ATK Mohun Bagan 3-1 di Culcuta.

Kemenangan 3-1 ini sudah cukup untuk membawa KL City mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke final antara zon Piala AFC.

Dengan kejayaan itu, KL City akan bertemu pasukan dari Uzbekistan dalam pertandingan akhir antara Zon Selatan dan Zon Timur.

“Jika kami menang melawan pasukan dari Uzbekistan ini, kita akan berdepan dengan pasukan dari Zon Barat untuk menentukan juara AFC.

“Tetapi kena ingat, pasukan dari Zon Barat ini hebat-hebat kerana mereka pasukan dari negara-negara Arab yang terkenal dengan permainan bola sepak mereka,” kata Presiden KLFA, Khalid Samad kepada Malaysia Dateline dari Culcuta.

Khalid bersama penyokong KL City di Culcuta, India ketika menyambut kemenangan pasukannya selepas menewaskan ATK Mohun Bagan dengan kemenangan 3-1.

Bagaimana, kata Khalid, dengan kejayaan mewakili Zon Selatan iaitu negara-negara Asean ini, ia merupakan satu kejayaan buat pasukan KL City yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Sebelum menewaskan pasukan dari India, KL City telah menewaskan Viettel dari Vietnam (6-5), PSM Makassar dari Indonesia (5-2) dan semalam menewaskan Mohun Bagan dengan 3-1.

Semasa menewaskan PSM Makassar, KL City membawa pulang USD 100,000 (RM450,000) apabila menjadi juara AFC peringkat Asean.

KL City akan berdepan dengan Sodiana Jizzakh dari Uzbekistan selepas ini untuk menentukan juara Zon Selatan dan Zon Timur Asia.

November 2021 lalu, KL FC dari pasukan divisyen dua sebelum ini mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara Piala Malaysia apabila menewaskan JDT.

Ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam kongres ke-32 persatuan itu, pada 24 November 2019 lalu.

Ketika itu, Khalid hanya menegaskan, indeks petunjuk prestasi (KPI) utama yang diletakkannya adalah untuk membawa kembali Kuala Lumpur ke saingan Liga Super pada tahun 2021 selepas ditendang ke liga bawahan sebelum itu.

Mulai detik itulah, nama KL City meningkat naik sehingga menjadi juara Piala Malaysia dua tahun selepas itu iaitu pada tahun 2021 dan kini memburu piala AFC.