Dari Rantau ke Tanjung Piai makna disebalik PRK buat PH

Tanjung Piai, gelanggang telah dibuka, rasminya 16 November telah dinoktahkan sebagai hari mengundi. Maknanya sesudah rantau, maka akan merantau pula ke Tanjung Piai dengan membawa harapan.

Pakatan Harapan (PH) membawa harapan, Umno BN juga menggantung harapan dan PAS akan menunggu dengan penuh harapan. Rakyat hakikatnya menjadi penentu kepada setiap pihak yang mengimpikan harapan dan rakyat juga yang sentiasa menagih pengharapan.

PH sebagai pihak yang diberikan harapan pada PRU 14 lalu perlu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai titik tolak untuk memperteguhkan sokongan rakyat terhadap wibawa dan integriti PH dalam mentadbir negara.

Namun apa pun keputusan PRK Tanjung Piai, bukanlah gambaran mutlak pola pengundian Pilihan Raya Umum 15 (PRU 15). Sungguh pun begitu PH perlu lebih agresif dalam menterjemahkan gerak kerja PRK Tanjung Piai, memandangkan Tanjung Piai merupakan kawasan yang agak kritikal bagi PH, kelebihan majoriti 524 undi yang diperolehi dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14), bukan merupakan kedudukan yang selesa buat PH.

Berdasarkan senario semasa, berdasarkan kaji selidik beberapa badan penyelidik memperlihatkan sokongan masyarakat Melayu terhadap PH hanya pada kadar 23 peratus, merupakan satu cabaran yang “maha” hebat buat PH untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu umumnya lebih terpengaruh dengan unsur-unsur sentimen yang berkaitan dengan kemelayuan dan keislaman.

Pastinya Umno dan Pas akan terus “mencandui” pemikiran masyarakat Melayu dengan retorik perkauman Melayu dan propaganda ancaman terhadap Islam, “Islam terancam.” PH perlu menjadikan PRK Semenyih dan PRK Rantau sebagai petunjuk ke arah merangka strategi dalam mendepani Umno-BN dalam PRK Tanjung Piai.

Hakikatnya PRK Tanjung Piai bukan laluan selesa buat PH. Kemenangan Umno-BN dalam PRK Semenyih 2 Mac 2019, tentunya memberikan inspirasi kepada Umno-BN untuk terus menggerakkan momentum kemenangan mereka, bagi membuktikan bahawa Umno-BN masih utuh dalam kancah politik Malaysia, tambahan pula kini mereka dikatakan akan mendapat sokongan padu daripada Pas rakan Permuafakatan Nasional mereka, biar pun perseteruan lampau antara Umno dengan Pas telah banyak menimbulkan pertentangan dalam masyarakat Melayu sehingga menimbulkan pelbagai konflik sosial yang tragis.

Tanjung Piai dan Semenyih, mempunyai cerita yang hampir sama, kedua-duanya adalah milik PH yang menang dalam PRU 14.

Dalam PRU 14, PH menang di kerusi Semenyih dengan kelebihan majoriti 8,964. Namun dalam PRK 2 Mac 2019, kerusi Semenyih telah terlepas kepada Umno-BN dengan majoriti 1914 undi. Jurang majoriti yang besar pada PRU 14, bukan merupakan jaminan untuk PH mempertahankan momentum kemenangan dan mengekalkan status quo sedia ada. Tambahan pula Tanjung Piai hanya dimenangi dalam kiraan majoriti yang agak kecil, 524 undi sahaja.

Ini bermakna, sekiranya PH benar-benar berharap untuk terus kekal menguasai Tanjung Piai, PH perlu menjadikan PRK Semenyih dan PRK Rantau sebagai kerangka untuk membentuk strategi bertindak. PH perlu lebih sistematik dalam menggerakkan, bukan sahaja strategi kempen, sebaliknya juga dalam membentuk jentera parti mengurus perjalanan proses PRK.

PH perlu keluar daripada pemikiran “one touch strategy,” sebaliknya perlu lebih strategik dalam merangka gerak kerja politik pilihan raya.

Pendekatan strategi yang berkemungkinan pilihan yang paling praktikal adalah berdasarkan “Paranoid Optimism”, berfokuskan kepada “scenario planning” dan “scenario mapping.” Para strategis PH perlu pendekatan yang sistematik dan berorientasi analisis kritikal, bukannya bertindak tanpa fakta dan data yang mantap da kukuh.

Apa pun keadaannya, PRK Rantau harus dijadikan pengukur kepada keberkesan proses pengurusan pengendalian pilihan raya, khususnya terhadap lima pembolehubah utama, iaitu kelebihan personaliti calon, penampilan imej calon, keupayaan komunikasi calon, kecenderungan sikap pengundi dan pengurusan isu-isu pilihan raya.

Kajian lapangan dengan kaedah pemetaan responden mendapati lima pembolehubah ini telah menimbulkan banyak implikasi yang menjadi faktor mempengaruhi ketewasan PH dengan majoriti yang besar, 4510 undi. Satu jurang yang besar dalam konteks Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK Dun).

Berdasarkan hasil pemetaan responden, dapati PH telah gagal untuk menguasai medan pertempuran bermula semenjak daripada hari penamaan calon. Berdasarkan personaliti calon Umno-BN telah menguasai skor 62.2 peratus, manakala calon PH mencatatkan skor 41.2 peratus. Berhubung dengan penampilan imej calon, UMNO-BN skor 67.2 peratus, manakala PH skor 43.8 peratus. Penguasaan skor untuk pembolehubah keupayaan komunikasi calon, Umno-BN 75 peratus, manakala PH 50.0 peratus.

Bagaimana pun, skor yang berkait dengan kecenderungan sikap pengundi terhadap PH direkodkan 64 peratus.

Ini bermakna secara amnya pengundi mempunyai sikap positif terhadap PH. Namun begitu, berhubung dengan isu-isu pilihan raya, Umno-BN telah berjaya menjuarainya dengan skor 71.3 peratus, manakala PH memperlihat unsur kegagalan dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan dengan mengumpul skor 38.8 peratus.

Berpandukan kepada dapatan kajian lapangan PRK Rantau, subjek utama yang menjadi perhitungan adalah calon yang bertanding, fokus pengundi adalah personaliti, imej calon dan keupayaan komunikasi calon.

Ternyata dalam PRK Rantau, calon pilihan PH tidak mempunyai kelebihan dalam aspek pembolehubah ini, ini memberi kelebihan yang besar menyumbang kepada kemenangan Umno-BN di PRK Rantau.

Berdasarkan hakikat ini, berdepan dengan PRK Tanjung Piai, PH perlu membetuk mekanisme yang konkrit dalam soal pemilihan calon, bukan saja berkait dengan “siapa” calon yang perlu dicalonkan, sebaliknya mempertimbangkan soal yang berkaitan dengan watak dan perwatakan calon, perkara ini perlu diberikan perhatian serius, bukan calon tangkap muat untuk memenuhi kehendak individu atau kelompok.

Calon harus mempunyai personaliti dan integriti.

Hakikatnya terdapat pandangan yang positif sikap pengundi terhadap PH berpandukan dapatan dalam PRK Rantau, diakui responden bahawa PH telah membawa perubahan (75%), lebih berintegriti (62.5%), perlu diberikan peluang (68.8%) dan berfokus rakyat (50.0).

Namun perkara ini telah gagal dieksploit sepenuhnya untuk dihebahkan kepada pengundi, menyebabkan para majoriti pengundi Rantau gagal menelaah program-program serta tindakan-tindakan yang dilakukan PH untuk kepentingan rakyat, wujud situasi yang mana rakyat menaruh harapan, namun PH gagal menyampaikan kepada rakyat akan harapan yang telah dipenuhi, menyebabkan harapan rakyat wujud dalam “vacuum” nyata.

Persoalan lain yang perlu diberikan perhatian dalam konteks PRK Tanjung Piai adalah bersabit dengan pengurusan isu-isu politik pilihan raya. Berpandukan kempen-kempen pilihan raya PRK Rantau, ternyata PH telah gagal untuk mengurus isu-isu politik yang berlegar sekitar para pengundi dengan berkesan dan berfokus. Realiti ini seharusnya dijadikan kerangka bertindak yang dinamik dan progresif untuk menangani strategi kempen dalam PRK Tanjung Piai.

PH, walau pun menyedari akan wujudnya isu-isu kempen pilihan raya yang disebarkan oleh Umno-BN serta dicanangkan bersama oleh Pas, namun telah gagal untuk membentuk serangan balas secara taktikal bagi mematikan penyebaran isu-isu kempen yang menjadi pelebar jurang antara PH dengan pengundi. Isu-isu yang disebar keliling oleh Umno-BN sepanjang PRK Rantau, berdasarkan pemetaan responden adalah melibatkan; kos sara hidup (87.5%), prestasi ekonomi (81.3%), pembangunan (25%), kepentingan bangsa Melayu (81.3%) dan kedudukan agama Islam (81.3%).

Dapat diramalkan bahawa isu-isu ini akan terus dikitar kembali dalam PRK Tanjung Piai, khususnya isu yang berkaitan dengan kepentingan bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam. Umno dan Pas akan terus mengulit, menganyam dan mengadun isu-isu ini bagi membuktikan kepada umum bahawa mereka adalah pejuang Melayu, terutamanya Pas yang seringkali mendakwa bahawa mereka pejuang dan pembela Islam serta Islam merekalah yang betul dan benar, selain Islam yang dipromosikan mereka adalah bersalahan belaka, maka wajib didoa laknat kepada mereka yang lari daripada perjuangan Islam Pas.

PRK Rantau seharusnya dijadikan rentak buat PH meneruskan momentum untuk terus kekal di Tanjung Piai, sepatutnya “tragedi” PRK Semenyih tidak seharusnya berulang di Tanjung Piai. PRK Rantau sepatutnya telah memperkayakan ilmu bantu kepada PH untuk terus menguasai medan tempur bagi menghasilkan kemenangan bermaruah sejajar dengan kedudukan PH sebagai “juara bertahan.” Dalam hal ini PH sepatutnya menyertai medan tempur PRK Tanjung Piai dengan strategi ofensif, bukannya bertindak secara defensif.

Pimpinan PH perlu memahami bahawa politik adalah satu peperangan, pilihan raya adalah medan pertempuran dengan cara yang lain untuk mencapai objektif peperangan. Oleh yang demikian, pimpinan PH, jika sebenar-benarnya serius untuk mencapai harapan yang dihasratkan, maka ada baiknya menghadamkan peringatan Sun Tzu, “meski pun anda mempunyai ruang untuk membuat serangan dalam beberapa ketika dan menunggu saat untuk membuat serangan balas, namun anda tidak akan mampu untuk memenangi pertempuran hanya dengan cara defensif.

PRK Rantau, PH telah terperangkap dalam situasi defensif, calon PH sememannya menjadi liabiliti kepada PH.

Kempen-kempen pilihan raya lebih terarah kepada mempertahankan calon daripada kritikan dan persendaan oleh juru kempen UMNO-BN. Calon PH dikatakan tidak mempunyai personaliti kuat, tidak responsif dan gagal berkomunikasi.

Begitu juga dalam aspek isu-isu pilihan raya yang diketengahkan, memperlihatkan PH gagal untuk bertindak balas, bagi mendedahkan fakta-fakta konkrit dalam konteks yang sedia dilakukan kerajaan untuk menangani keresahan dan kerisauan rakyat.

Jelas sekali PRK Rantau PH berada dalam situasi defensif.

Keadaan ini juga berlaku dalam PRK Semenyih, bahkan PRK Semenyih sesuatu yang unik, sebaik berakhir penamaan calon PH berada dalam situasi ofensif, namun dipertengahan minggu kedua kempen PH telah bertukar menjadi defensif.

Para strategis PH perlu lebih taktikal dan strategik dalam menggerakkan kempen serta gerak kerja pilihan raya dalam PRK Tanjung Piai, sekiranya PH benar-benar menanam harapan untuk terus bertapak di bumi Tanjung Piai atau berdepan dengan “hilangnya harapan” dengan mengulangi tragedi PRK Semenyih. Sebagai seorang strategis Sun Tzu menegaskan, “bagi yang berkemahiran dalam peperangan akan membawa musuh untuk bertempur dimedan dan bukannya bertempur di medan yang di atur oleh musuh.

* Penulis Pensyarah  Fakulti Pengurusan dan Ekonomi  Universiti Pendidikan Sultan Idris