Malaysia Dateline

Dari Sidang Kemuncak KL ke Dialog Perdana

 

Agak sedih kerana pada akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019,  ia akan dijenamakan semula sebagai Dialog Perdana bermula tahun depan.

Timbalan Pengerusi Persidangan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, ketika membaca kenyataan pengerusi pada majlis penutup sidang berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia menjemput semua negara Islam dan pihak berkaitan untuk turut serta memberi sumbangan idea serta usaha dalam sidang berkenaan bagi menjayakan perbincangan masa depan.

“Kami komited untuk melaksanakan penyelesaian pragmatik seperti yang disokong dalam persidangan dengan pandangan bertujuan memulihkan tamadun Islam yang dihormati.

“Ia termasuk untuk memperbaiki keadaan semasa ummah selain memperluaskan jangkauan perkembangan ekonomi, sains, teknologi dan inovasi untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Mungkin ia juga bagi mengelakkan  sebarang konflik dengan negara Islam lain seperti Arab Saudi yang berkecil hati kerana bertanggapan Sidang Kemuncak ini sebagai pembentukan blok baharu menggantikan ICI pula. Ia seolah-olah mengenepikan Riyadh hinggakan “memaksa” Pakistan antara negara perintis kepada Sidang Kemuncak ini terpaksa tarik diri atas desakan Arab Saudi.

Perdana Menteri Imran Khan harus pergi Riyadh untuk menjelaskan keadaan dan sedih bendera Pakistan yang mula berkibar di Mandarin Oriental, KLCC telah diturunkan. Khabarnya Indonesia juga tidak hadir atas tekanan Saudi, namun tidaklah dipastikan.

Penjenamaan semula kepada dialog akan membuka ruang kepada situasi menang-menang, elak ketegangan di mana semua negara Islam boleh menghadirinya tanpa sebarang konflik antara semasa negara Islam. Nama Sidang Kemuncak seolah-olah memperlihakan status pakatan atau blok negara bersidang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bukan bertujuan membentuk blok baharu atau untuk menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pengerusi Sidang Kemuncak ini, Dr Mahathir Mohamad, berkata ia sebagai permulaan kecil menangani isu ummah.

Ia sebagai medan merungkai pelbagai kemelut yang membelenggu umat Islam atau sekurang-kurangnya menyedarkan dunia Islam terhadap polemik yang melanda masyarakat Islam.

Mungkin ia adalah idea daripada Hiwar atau dialog yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang harus dikembangkan bagi membetulkan kesalahfahaman mengenai Islam. (Malaysia Dateline, 19 Disember 2019)

Seri Paduka bertitah hiwar mengalakkan kebaikan dan cara untuk memahami antara satu sama lain, meskipun terdapat perbezaan dalam usaha sihat ke arah kecemerlangan.

Oleh itu, dialog merupakan medan berkuasa bagi umat Islam untuk memperbetulkan salah tanggapan mengenai agama Islam kepada penganut dan ideologi lain.

Namun di samping tiga inisiatif, terdapat cadangan pelaksanaan lima projek khas adalah antara resolusi yang dicapai pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bagi belia selama dua hari itu, sebelum perasmiannya.

Lima projek khas berkenaan adalah Kepemimpinan Belia, Program Pertukaran Belia, Kemahiran dan latihan,

Tiga inisiatif lain merangkumi cadangan penubuhan pusat kecemerlangan dalam bidang penerokaan saintifik dan penyelidikan teknologi tinggi, kerjasama masa depan dalam membangunkan bidang penyelidikan dan teknologi baharu serta modal insan dalam industri pertahanan dan keselamatan serta keselamatan makanan.

Dalam usaha terbaru memerangi Islamofobia, salah satu kebimbangan utama dunia Islam yang ditonjolkan pada persidangan tersebut, sebuah pusat komunikasi dijangka diwujudkan di Istanbul, Turki pada pertengahan tahun depan.

Inisiatif tersebut susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Projek Komunikasi Menentang Islamofobia antara Malaysia dan Turki sempena persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Projek ini tidak terhad kepada penubuhan sebuah saluran televisyen bagi memerangi Islamofobia kerana cara lain juga akan digunakan untuk menghantar mesej seperti dalam semua platform media dan juga persidangan,” menurut ketua projek bagi Malaysia, Datuk Ainon Mohd.

Pengarah Komunikasi Presiden Turki, Prof Fahrettin Altun, yang menandatangani MoU itu bagi Turki berkata, terdapat keperluan untuk desakan antarabangsa dan pelbagai dimensi terhadap Islamofobia dan anti-Islam.

Mengulas mengenai usaha ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur berharap negara-negara Islam yang lain akan menyertai inisiatif ini dalam memerangi Islamofobia.

Sementara itu golongan belia Malaysia boleh melihat peluang untuk latihan dan pekerjaan di Turki di bawah program ‘Work4Malaysia’ susulan jalinan kerjasama antara Akademi Harimau Asia dan Turkey Mental HR Consultancy.

Menurut presiden akademi tersebut, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kedua-dua pihak akan melaksanakan program yang melibatkan pemilihan bakat, latihan dan peluang kerjaya dalam bidang yang dinyatakan.

Buat permulaan, katanya, 50 belia akan memanfaatkan skim itu yang dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Dengan initiasif ini persidangan tersebut dapat bagi mendapatkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk menangani isu-isu yang membelenggu umat Islam.

Dapatlah kita katakan Sidang Kemuncak KL ini sebagai langkah kecil tetapi amat serius, usaha  membangkitkan semula tamadun Islam. Negara-negara perintis seperti Turki, Qatar dan Iran telah mengambil melalui detik mencabar seperti embargo dan sekatan ekonomi dan perdagangan dan dapat bertahan dan menghadapinya. Negara-negara ini telah melaluinya dengan bantuan teknokrat, pentadbir dan intelektual-intelektualnya dalam tekanan-tekanan mencabar.

Mereka mempunyai daya saing dan daya tahan yang hebat. Malaysia adalah medan pertemuan yang dapat membina rangkaian membangunkan semula tamadun Islam.

Bravo Sidang Kemuncak KL!

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor dan Felo Institut Masa.