Dari tepi jalan, Amir Raja Lawak kembangkan sayap, kini miliki kedai untuk jual ayam goreng

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak kenal akan pelawak Amir yang terkenal dengan tagline ‘Amirreka’, kini dia semakin aktif berniaga.

Mula dikenali menerusi rancangan astro, Raja Lawak musim ketiga, Amir membuktikan bahawa setiap manusia ada jalan tersendiri.

Tujuh tahun menjalankan perniagaan dengan menjual air, Amir kini memilih bidang perniagaan baru melibatkan makanan pula.

Perniagaan dijalankan secara francais di bawah jenama APFC itu diusahakan di premisnya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV lapor Harian Metro.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi mengakui teruja untuk menjual produk baru dengan kaedah jualan yang berbeza.

“Sebelum ini, saya jual air dalam botol tanpa kedai, sebaliknya dimuatkan dalam but kereta dan jualan tepi jalan.

“Kali ini, saya memiliki kedai sendiri dan walaupun ia diusahakan secara francais, tapi jualan begini sesuatu yang baharu dan agak mencabar,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pelawak berusia 35 tahun itu mengakui hanya mengikut rentak ditambah dengan impiannya mahu bergelar usahawan berjaya.

“Prinsip saya mudah, bersedia atau tidak, terus sahaja buat. Saya hanya ikut rentak dan sedia terima segala cabaran,” katanya.

Anak jati negeri Kelantan itu mengakui masih menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak disebabkan mahu fokus kepada perniagaan.

Baca juga: Amelia Christie beli kereta idaman kedua pada usia 24 tahun, terkejut tahu harga cecah RM150,000