Daripada bukan isu menjadi isu – Bahagian 2

Oleh NASUHA RAHMAN

Setelah gagal menjawab soalan mudah para MP pembangkang iaitu ” jika benar Ordinan Darurat telah pun dibatalkan, adakah ianya telah mendapat perkenan YDPA dan bilakah YDPA perkenankan dan bilakah pembatalan Ordinan Darurat itu telah dilakukan?”, nampak jelas YB Menteri yang berkenaan cuba berselindung di sebalik Speaker iaitu kononnya beliau tertakluk kepada arahan Speaker bahawa giliran beliau untuk memberi “taklimat” pada sidang khas parlimen itu adalah pada hari Isnin iaitu pada 2/8/2021- hari terakhir sidang khas itu.

Bila MP pembangkang terus mendesak agar Speaker pula membenarkan Menteri yang berkenaan untuk menjawab soalan mudah itu, tuan speaker juga berdolak dalik seperti YB Menteri-menteri.

Beliau berkata “bukankah giliran YB Menteri menjawab adalah pada hari isnin-2/8/2021. Kita kena tunggulah hari isnin! ” (rupa rupanya hari Isnin mereka tangguhkan persidangan dewan).

Satu yang Yb Menteri dan Speaker mungkin tidak sedar adalah alasan mereka itu begitu “pathetic” dan ianya seolah-olah mengandaikan kita semua tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Jelas, sesiapapun yang menyaksikan gelagat dan kelakuan Menteri dan speaker itu akan sedar ada sesuatu yang mereka cuba elakkan agar fakta penting tidak terdedah di dalam Dewan iaitu perkenan YDPA memang tidak ada. Oleh itu, mudahnya perisytiharan YB menteri bahawa Ordinan Darurat kononnya telah dibatalkan adalah, jika pun tidak mahu dikatakan menipu dewan, adalah jelas mengelirukan dewan- sebuah kesalahan di bawah Aturan 36 (12) Peraturan Mesyuarat (Standing Orders).

Saya dan YB Puchong kemudiannya telah memfailkan usul kami masing-masing bagi meminta dewan merujuk Menteri ke Jawatankuasa Hak di bawah Aturan 36 (12).

Saya telah bangun dan meminta agar usul saya itu tidak didengar oleh institusi Speaker kerana potensi wujudnya elemen berat sebelah atau bias sukar dielakkan.

Saya meminta agar Dewan sendiri yang memutuskan -melalui pengundian – untuk membenarkan atau menolak usul saya untuk merujuk Menteri ke Jawatankuasa Hak di bawah Aturan 36 (12) .

Speaker kemudiannya meminta saya berjumpa beliau di bilik beliau. Saya akur.

Pada asalnya, ketika saya ingin berjumpa Speaker saya telah tersilap memilih pintu masuk ke biliknya. Ketika itu saya, secara tidak sengaja, ternampak ada seorang menteri iaitu Menteri KDN sedang berjumpa dengan speaker. Saya, bagaimanapun tidak mendengar isi perbualan mereka. Justeru itu saya tidak mahu berspekulasi.

Kemudiannya, saya berjaya bertemu speaker dan berbual secara empat mata dengan beliau lebih kurang 30-40 minit, jika tidak silap saya.

Selepas berjumpa Speaker dan berhasrat untuk masuk semula ke dalam Dewan, saya terserempak dengan YB Jelutong yang memaklumkan kepada saya bahawa YDPA telah keluarkan warkah rasmi Istana menegaskan bahawa YDPA tidak pernah memberi perkenan pembatalan Ordinan Darurat.

Warkah Istana itu ibarat bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki. Kerajaan Tebuk Atap terkulai layu dan laungan derhaka memenuhi Dewan Rakyat.

Saya ada membaca akhbar di Singapura yang menyatakan pendedahan warkah YDPA itu amat memeranjatkan Kerajaan Tebuk Atap sehingga mereka, pada asalnya, tidak tahu untuk membuat apa.

YB Ketua Pembangkang dan beberapa pemimpin kanan pembangkang lain pula terus berjumpa speaker yang saya difahamkan, antara lain, mendesak beliau untuk meletak jawatan.

Selepas itu, YB Ketua pembangkang dan para pemimpin kanan pembangkang telah mengadakan pertemuan tergempar dan difahamkan telah mencapai beberapa persetujuan.

Saya difahamkan ada beberapa usul akan juga cuba diusulkan pada hari itu selepas sidang disambung semula jam 2.30pm.

Sebelum itu, sidang Dewan pun telah ditempohkan sebanyak dua kali sebelum pukul 1 pm. Apabila sidang sepatutnya disambung jam 2.30 pm, sekali lagi Timbalan Speaker menempohkan sidang dewan beberapa kali. Tuan Speaker langsung tidak masuk ke Dewan. Khabar angin kencang di Parlimen bahawa Speaker akan meletak jawatan.

Sementara itu para MP pula diminta sekali lagi melakukan ujian saringan Covid-19 melalui perkhidmatan RTK. Tidak tahu dah berapa kali kami diminta melakukan ujian saringan.

Kami semua mendapat tahu wujudnya pertemuan khas di rumah PM Tebuk Atap. Dan khabar angin kencang bertiup berkemungkinan besar sidang hari terakhir pada 2/8/2021 -Isnin-pun mungkin akan ditanguhkan tetapi ianya belum muktamad.

Sementara menunggu hari Isnin itu pula sudah tersebar sebuah lagi warkah juga dari istana. Kali ini kandungan warkahnya lebih bernada serius dan mendedahkan lebih banyak “info” panas.

….insyaAllah bersambung esok.

والله اعلم