Malaysia Dateline

Daripada pungut derma, tutup saja pusat tahfiz jika tidak mampu

Pusat tahfiz persendirian yang tidak mampu meneruskan operasi dalam suasana pandemik pada masa ini disaran untuk ditutup.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat penutupan operasi tahfiz yang tidak mempunyai dana adalah lebih baik berbanding memungut derma ketika ramai terjejas impak Covid-19.

“Sekejap tadi, ada pengusaha pusat tahfiz mengunjungi saya memohon derma untuk pusat tahfiz mereka. Saya cuma letakkan tangan di dada, ucap selamat dan kedua-dua wanita pemungut derma berkenaan pun beredar.

“Saya bukanlah tidak ada duit untuk hulur, tetapi saya fikir ini bukanlah masa yang tepat untuk pusat tahfiz persendirian yang tidak punya dana untuk beroperasi.

“Apatah lagi jika pengusahanya terpaksa bergerak ke sana-sini memohon simpati awam untuk pusat tahfiznya. Tindakan sebegini adalah bukti pusat tahfiz berkenaan betul-betul terdesak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, tindakan pihak tahfiz memungut derma orang ramai boleh mengundang rasa serba salah golongan yang sedang berdepan dengan masalah kewangan.

“Ketika orang ramai terkial-kial untuk kelangsungan hidup, usahlah mereka diletak dalam keadaan serba salah, nak beri derma kepada pusat tahfiz atau nak belanja keluarga sendiri.

“Tak beri kepada pusat tahfiz terasa tidak sokong usaha agama. Jika diberi, wang yang ada untuk biaya keluarga akan terjejas. Serba salah jadinya,” kata beliau.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berpendapat pelajar pusat tahfiz persendirian yang ditutup boleh memasuki pusat tahfiz lain atau sekolah pondok yang masih mampu beroperasi.

“Jika mahu, masuk saja aliran pendidikan kebangsaan yang akan memulakan sesi pada akhir bulan ini.

“Guru-guru dan pekerja pusat berkenaan boleh berusaha mencari nafkah hidup dengan cara lain. Semoga Allah mempermudahkan urusan kehidupan mereka,” katanya.

Bagi premis yang telah dibina, Ustaz Zolkharnain berkata, ia boleh diguna untuk tujuan lain sama ada untuk aktiviti kemasyarakatan seperti ibadah, sukan, pertanian atau apa sahaja bergantung kepada kesesuaian.

“Jika bercakap soal pahala, memberi belanja untuk keluarga sendiri juga berpahala.

“Bahkan bagi saya, dalam suasana sekarang berbelanja untuk penuhi keperluan keluarga lebih besar pahala daripada derma untuk pusat tahfiz,” ujarnya.

Beliau menyifatkan agama Islam akan terus berkembang sekalipun pusat tahfiz bermasalah dana ditutup.

“Banyak lagi cara lain untuk menolong agama ini selain daripada mempertahankan operasi pusat tahfiz bermasalah,” tambahnya lagi.