Malaysia Dateline

Darjah 2 dah diasak cari ayat tersirat, pakar psikiatri ini mahu penggubal silibus jawab

Orang ramai terutama ibu bapa pelik bagaimana seawal Darjah 2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sudah diasak cari ayat tersirat.

Silibus pembelajaran sekolah rendah yang dilihat sangat berat untuk dipelajari ketika ribuan murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga) gagal menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira).

Keadaan diburukkan lagi dengan kesan wabak Covid-19 yang menyaksikan murid terpaksa belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Selama dua tahun murid-murid menempuh PdPR sebenarnya memberi kesan kepada proses pembelajaran mereka kerana tidaklah sebaik belajar secara bersemuka.

Ikuti persoalan yang dibangkitkan pakar psikiatri, DR ROZANIZAM ZAKARIA berhubung perkembangan fasa otak dengan silibus yang perlu dihadapi murid:

Saya ada soalan jujur ingin ditanyakan kepada para penggubal silibus sekolah dan para guru yang mengajar.

Sebagai pakar psikiatri, felo psikiatri kanak-kanak dan remaja dan pensyarah perubatan di universiti awam, apabila saya mengajar (dan belajar) bab developmental psychology (psikologi perkembangan manusia), kita akan dapati kanak-kanak hanya mula memahami konsep abstrak (tersirat) (abstract reasoning) pada fasa umur 11/12 tahun ke atas.

Ini kerana otak pada usia sebelum itu (7-12) masih dalam fasa kognitif – concrete operational, di mana mereka mula belajar memahami pengetahuan berdasarkan pemikiran logik, pengelasan subject concrete (objek/ topik nyata, bukan abstrak).

Jika lihat buku teks, kemahiran yang ingin diajar ialah mena’akul. Penakkulan ini ialah kemahiran kognitif aras tinggi, fasa formal operational (12 tahun ke atas).

Jadi, soalan saya:


1. Apakah rasional topik tersurat dan tersirat dimasukkan dalam silibus Bahasa Melayu seawal darjah dua (umur 8 tahun)?

2. Apakah justifikasi saintifik bagi tindakan ini (sama ada dari aspek pendidikan/ praktikal)?

3. Bagaimana guru mendekati topik ini bagi pelajar yang masih tidak mampu menguasai isi tersurat pun (inikan pula yang tersirat)?

4. Adakah guru-guru dapati ada sebarang kesukaran bagi murid dalam pelbagai tahap kemahiran bahasa memahami topik ini setakat ini?

Saya tidak mempersoalkan kewajaran mendidik anak untuk berfikir secara kritis, cuma ingin memahami kewajaran memperkenalkan konsep ini pada usia seawal 8 tahun.

Baca juga Cikgu kongsi soalan Matematik Darjah 1, pemegang ‘degree’ pun garu kepala nak jawab

Baca juga Lelaki terus letak jawatan lepas gaji tersalah masuk, larikan diri dengan RM790,364