Istana Negeri Sembilan hari ini menarik balik dua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pendaftar Darjah, Dr. Razali Ab. Malik keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.
Ia melibatkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) yang dianugerahkan kepada Najib pada tahun 2005 dan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji (SPTJ) kepada Rosmah pada tahun 2006.
Anugerah SPNS membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada penerimanya manakala SPTJ membawa gelaran Datuk Seri.
“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan institusi diraja di Negeri Sembilan,” katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri dalam satu kenyataan hari ini.