Malaysia Dateline

Darurat ada udang di sebalik batu, kata Prof Jomo

Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram menyifatkan pelaksanaan darurat yang pernah diisytiharkan dalam negara bermula pada tahun 1948, sememangnya ada helah tersirat ibarat ‘udang di sebalik batu’.

Beliau berkata, darurat pada tahun itu dilaksanakan oleh penjajah British kerana gerakan menuntut Perlembagaan Rakyat dan Kemerdekaan yang dipimpin Parti Kebangsaan Melayu Melaya.

Darurat kedua pula pada tahun 1964 iaitu selepas kemerdekaan negara kerana konfrontasi dengan Indonesia.

Sidang media “Darurat Memudaratkan Ekonomi” oleh Dr Muhammad Khalid, Prof Jomo K Sundram and Prof Dr Nungsari Ahmad Radhi

Menurutnya, darurat ketika itu untuk menjaga kepentingan British yang mempunyai beberapa tanah jajahan di rantau asia tenggara dan semuanya dimasukkan ke dalam Malaysia sehingga ditentang oleh negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina.

“Kita dapati waktu darurat pertama dan kedua, Parlimen pada tahun 1959 dan Parlimen tahun 1964 terus bersidang. Tidak ada alasan darurat untuk Parlimen tak bersidang.

“Malah Parlimen juga bersidang walau berlakunya darurat ketiga yang dikenakan untuk memastikan kawasan laut berdekatan Sabah dan Sarawak diserahkan kepada kuasa Kuala Lumpur

“Apa yang jelas, kita dapat lihat dari semua pengisytiharan darurat, terdapat udang di sebalik batu. Ada niat tertentu pihak berkuasa untuk mengisytiharkan darurat. apa yang diumumkan ada kepentingan tertentu,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Tamu hari ini.

Membincangkan tentang darurat yang memudaratkan ekonomi, Prof Jomo berkata, darurat yang dikenakan selepas negara melaksanakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, sama sekali tidak memulihkan keadaan ekonomi negara.

Menurutnya, PKP itu sendiri yang sebenarnya memudaratkan ekonomi Malaysia dan bukannya wabak Covid-19.

Beliau berkata, negara seperti China, Korea, Vietnam, Jepun dan Thailand berjaya memulihkan ekonomi negara kerana mereka tidak menggunakan sekatan seperti PKP, berbanding dengan negara seperti Britain dan Amerika Syarikat yang masih tidak mampu mengawal penularan kerana melaksanakan kawalan seperti PKP.

“PKP bukan satu-satunya cara menangani wabak. Kita dapati sepatutnya PKP 1.0 lagi dah kawal keadaan.

“Baru-baru ini darurat diisytiharkan selepas PKP 2.0 dikenakan. Sebenarnya darurat adalah tidak perlu selepas PKP ini dikenakan. Kalau lah kita setuju PKP sebagai satu-satunya cara menangani wabak ini, maka ditambah dengan pelaksanaan darurat, ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya lagi.