Malaysia Dateline

Darurat di Grik dan Bugaya

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sultan Abdullah telah memperkenan pengisytiharan darurat untuk kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut selepas berpuas hati dengan adanya keperluan berbuat demikian.

Beliau berkata, dua PRK tersebut yang dijadualkan berjalan pada 16 Januari 2021 telah dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi (P.054) Gerik dan (N.66) Bugaya telah dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu Muhyiddin berkata, dalam menyembah nasihat kepada Sultan Abdullah, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas ekonomi dan ancaman kepada ketenteraman awam.