Malaysia Dateline

Darurat di isytihar seluruh Sarawak mula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022

Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan darurat untuk seluruh Negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

Ia bertujuan bagi mengelakkan dari pilihan raya negeri didakan ketika Covid-19 melanda selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak terbubar dengan sendirinya pada 7 Jun 2021.

Ini kerana selepas terbubar, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh tersebut.

Perkara ini dinyatakan dalam satu warta yang dikeluarkan pada 29 Julai di Istana Kuantan, Pahang.

“BAHAWASANYA BETA berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19):

“DAN BAHAWASANYA menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sarawak (kemudian daripada ini disebut sebagai “Dewan Undangan Negeri”) telah sepatutnya terbubar pada 7 Jun 2021, tetapi Fasal (3) Perkara 21 tidak mempunyai kesan menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 [P.U. (A) 12/2021] yang menggantung pembubaran Dewan Undangan Negeri:

“DAN BAHAWASANYA perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 mengikut Proklamasi Darurat [P.U. (A) 7/2021] yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri dikehendaki untuk diadakan dalam enam puluh hari dari 2 Ogos 2021 mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak:

“DAN BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut BETA boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak COVID-19 jika pilihan raya umum diadakan,” kata warta itu.