Malaysia Dateline

Darurat, gantung Parlimen punca Malaysia gagal bendung Covid-19

Melaksanakan darurat sekali gus menggantung parlimen adalah punca utama Malaysia terus gagal bendung wabak pandemik COVID-19, demikian tegas Senator Aiman Athirah Sabu.

Katanya yang menyifatkan langkah darurat sebagai darurat politik ini telah membawa kepada penutupan Parlimen adalah tindakan paling tidak bertamadun yang kini menatijahkan kegagalan demi kegagalan yang negara sedang lalui pada hari ini.

Katanya, kerajaan Gagalis yang ada pada hari ini kelihatan sangat selesa dengan apa sahaja kegagalan yang mereka lakukan, kerana perwakilan rakyat sama ada di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri telah berjaya mereka bisukan

“Saya ulang, negara kita pada hakikatnya sedang berhadapan dengan dua ancaman besar iaitu ancaman kerosakan ekonomi yang parah yang menjadi pergantungan kelangsungan hidup rakyat jelata, dan juga ancaman keselamatan nyawa rakyat; yang jika gagal diuruskan secara cekap berdasarkan prioriti dan sains, akan meletakkan Malaysia pada kedudukan masa depan yang sangat sukar

“Ironinya, kita semua sedang berjalan menuju ke satu jalan kerosakan ini, dan adakah kita boleh terus dipaksakan melalui jalan yang sama ini?” soal beliau.

Sekadar mengulangi langkah PKP dan terbaharu dengan bangganya mengatakan “PKP diperketatkan”, beliau yakin dan percaya ianya hanyalah satu langkah lucu, sumbang dan sangat menjengkelkan.

“Saya malah teruja untuk tahu bagaimanakah keputusan itu diambil dan atas sandaran apa contohnya, kedai makan ditutup daripada terdahulu jam 10 malam, kini bertukar menjadi jam 8 malam, dan sebenarnya banyak lagi persoalan seumpama ini yang harus dan terpaksa kita tanyakan guna untuk menyedarkan kerajaan gagalis ini,” katanya.

Justeru, beliau yakin dan percaya, banyak persoalan penting terkait dasar dan teknikal pelaksanaan akan hanya didengar, dijawab dan diberi perhatian serta tindakan tepat jika fungsi Parlimen dipulihkan.

“Langkah melaksanakan PKP tanpa mengambil kira penambahbaikan ia bukan sahaja kini telah melemahkan ekonomi negara, tetapi pada masa yang sama gagal menyediakan pelan perancangan kawalan wabak yang lebih kemas, komprehensif dan wibawa,” katanya.