Malaysia Dateline

Darurat: Kuasa tiada batasan, kerajaan boleh langgar sekatan dalam Perlembagaan

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari bimbang proklamasi darurat sehingga Ogos ini akan memberikan kuasa mutlak tanpa batasan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja.

Tegas Ketua Pembangkang Negeri Perak itu, kerajaan dipimpin Muhyiddin Yassin sekarang gagal membuktikan keabsahannya untuk membuat undang-undang tanpa perlu dibentangkan di Parlimen.

Menurutnya, sewaktu darurat tiada unsur semak dan imbang apabila kerajaan boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan tambahan pula proklamasi darurat itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Apa yang menjadi masalah kepada darurat ialah kerajaan boleh langgar sekatan-sekatan yang ada di dalam Perlembagaan.

“Itu sebenarnya yang kita risau darurat ini, bukan soal kuasa tentera, soal ketenteraman awam, bukan itu,” katanya menerusi sesi Facebook Live di akaun rasmi beliau malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak itu menegaskan pelaksanaan darurat bukan perkara biasa dari segi undang-undang.

“Yang menjadi masalah, kuasa itu menjadi kuasa terlalu luas dan mutlak, tiada batasan.

“Kita tak boleh nak menyekat sesuatu. Perkara-perkara ini boleh dilakukan secara dekri sahaja oleh kerajaan yang memerintah,” ujarnya.

Dr Abdul Aziz turut menjelaskan proklamasi darurat tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah kerana perkara itu telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat penyelesaian kepada darurat ini hanyalah di bawah Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk menarik balik pengisytiharan berkenaan.

“Kita doa supaya Yang di-Pertuan Agong tarik balik pengisytiharan darurat. Baru boleh balik kepada keadaan asal. Kalau tidak, kuasa itu meluas sehingga boleh menggantung Perlembagaan.

“Mungkin rakyat boleh hantar petisyen meminta raja-raja mencari penyelesaian. Saya rasa akhirnya nanti raja-raja ini yang akan membuat keputusan.

“Raja-raja harus ke depan ketika negara kita terjebak dalam suasana yang tidak menentu seperti ini,” tambahnya lagi.