Malaysia Dateline

Darurat: Langkah sebuah kerajaan lemah untuk terus berkuasa – Tun M

Proklamasi darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertujuan untuk menangani pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengisytiharan darurat hanyalah langkah politik dan merupakan agenda sebuah kerajaan lemah yang menginginkan untuk terus berkuasa.

Katanya, bagi orang ramai, harga yang harus dibayar amat mengerikan.

“Mereka kehilangan kebebasan bersuara dan hak untuk menukar kerajaan.

“Banyak yang hidup dalam ketakutan kerana dipanggil untuk disoal siasat, ditahan dan diganggu,” katanya dalam satu catatan Facebooknya hari ini.

Pada masa sama Mahathir berkata, ekonomi negara semakin menyusut ketika kerajaan mengekang kegiatan ekonomi untuk berjalan seperti biasa.

Bahkan katanya, kerajaan tidak berfungsi dengan baik kerana menteri yang berpengalaman tidak dapat menangani masalah ekonomi, sosial dan kesihatan politik.

Pada catatan awalnya, Mahathir berkata negara ini sekarang ditadbir dengan arahan dan ‘perintah’ sehingga tiada lagi demokrasi.

“Suara rakyat dalam demokrasi adalah melalui Parlimen. Tetapi ia tidak dibuka. Satu-satunya label yang dapat kita buat mengenai kerajaan ini adalah bahawa ia adalah pemerintahan diktator,” katanya lagi.