Malaysia Dateline

Darurat menidakkan rakyat lawan COVID-19

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga  Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, darurat hari ini telah menidakkan platform bagi rakyat dan wakil rakyat untuk membawa cadangan dan persoalan kepada kerajaan berhubung pandemik Covid-19.

Menurutnya, pelbagai persoalan yang timbul antaranya mengapa dua kementerian ditugaskan mengendalikan program vaksinansi sepatutnya boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya juga ada soalan kenapa kita ada dua kementerian yang jaga isu vaksinasi Khairy Jamaludin jaga pembelian vaksin, KKM pula memberi vaksin sepatutnya urusan vaksin dikendalikan oleh KKM,” katanya dalam sidang media bersama Jawatankuasa Tamat Darurat hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu berpendapat kementerian di bawah Khairy sepatutnya bertindak menghasilkan vaksin untuk negara malangnya Malaysia terpaksa bergantung vaksin daripada luar.

“Kita hanya lawan Covid-19, apabila angka meningkat langsung kita buat PKP,” kata beliau.

Bahkan beliau terkilan apabila Selangor selalu disebut negeri paling tinggi berdasarkan statistik yang dipaparkan kepada rakyat tidak memberi gambaran keadaan sebenar.

“Tanpa melihat kepada kependudukan, lokasi geografi dan kepadatan rakyat, sebab itulah Selangor selalu pecah rekod,” katanya.

Justeru, katanya tanpa ada Akta Darurat, Parlimen dan DUN boleh bersidang tetapi disebabkan langkah kerajaan ini kerajaan negeri Selangor tidak boleh dapat maklum balas penting daripada bawah.

“Kita dapat maklumat daripada pakar-pakar di luar memberi cadangan kepada kerajaan tapi bila ada Akta Darurat kita tidak boleh pakai apa yang dicadangkan oleh mereka,” kata Dr Mariah lagi.