
Darurat mungkin dipertimbang di Bugaya, Gerik
Kerajaan bakal mempertimbangkan keperluan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan Parlimen Gerik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melakukan penilaian risiko di dua kawasan terbabit sebelum membentangkan hasil penelitian kepada Jemaah Menteri.
“Tindakan sama akan dipertimbang dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan Gerik jika penilaian risiko KKM dan MKN mendapati ia mempunyai keperluan seperti di Batu Sapi,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat hari ini.
“Berpandukan Perkara 150, jemaah menteri memutuskan untuk mengarahkan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan sebahagian daripada Persekutuan iaitu Parlimen Batu Sapi supaya diisytiharkan darurat.
“Tindakan yang sama juga akan dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan (Parlimen) Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko oleh KKM dan MKN, ianya berlandaskan sebagaimana di Batu Sapi,” jelasnya.
Pada 18 November lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Parlimen Batu Sapi bertujuan mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu dengan mengambil kira lima faktor utama penularan Covid-19.
Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, yang juga Ketua Umno Bahagian Gerik, meninggal dunia di Raub, Pahang, pada 16 November lalu kerana sakit jantung.
Keesokannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, pula meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Sabah.
Menurut Takiyuddin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sukar mendapatkan petugas pilihan raya, susulan insiden penularan Covid-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lalu.
Dalam hal ini, situasi yang sama dijangka di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik, katanya, malah KKM memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala.
“Pada masa sama, kebimbangan pengundi Batu Sapi, DUN Bugaya d Gerik berkenaan risiko jangkitan Covid-19 di pusat-pusat mengundi juga dijangka menyebabkan peratus keluar mengundi yang rendah, iaitu kira-kira 50 peratus berbanding beberapa PRK yang lalu iaitu sebanyak 60 peratus,” tambah Takiyuddin lagi.