Malaysia Dateline

Darurat PN semakin tidak nampak hala tuju

Pengisytiharan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai hala tuju yang sebenar, sebaliknya pengisytiharan itu diambil kesempatan oleh mereka untuk terus berpolitik.

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, penamatan perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji serta Ketua Polis Negara (KPN) di musim darurat membuktikan kerajaan tidak memberi fokus kepada usaha melawan dan membendung Pandemik Covid-19.

“Perlu diingatkan sebab utama pengisytiharan darurat adalah bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan. Manakala penamatan CEO-TH dan KPN jelas tiada kena mengena dengan usaha bagi membendung penularan pandemik tersebut tatkala ini.

“Menteri Agama sendiri turut mengakui dengan data dan angka kewangan TH yang positif dan meyakinkan sehingga ia dicemburui oleh penyokong-penyokong PH seolah-olah ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’.

“Tindakan memecat CEO-TH tersebut jelas satu tindakan zalim dan menggantikan KPN yang terbukti berani melawan kegiatan judi dan pengubahan wang haram. Mereka yang berkuasa terus berpolitik untuk mengukuhkan kedudukan,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, persoalan yang timbul ialah kemana hala tuju pengisytiharan darurat sekiranya ia terus ditadbir sedemikian rupa oleh kerajaan PN.